Menurut Mustafa Mohd. Isa (1987: 114) dalam semua cerita Awang Belangga (tokoh penglipur lara Melayu dari Perlis) terdapat peristiwa-peristiwa yang berlaku, sama ada di dalam ruang supernatural mahupun di dalam alam natural, sebagaimana tergambar di dalam Hikayat Malim Deman (HMD).
a) Ruang Supernatural
Ruang supernatural dapat difahami melalui penggunaan kuasa atau objek magik. Ruang supernatural melampaui kewarasan akal fikiran manusia. Kewujudannya lewat alam bawah sedar. Contohnya, alam mimpi dan alam imaginasi.
(i) Ruang Di Alam Mimpi
Ruang di alam mimpi wujud dalam mimpi Malim Deman sebanyak dua kali. Dalam mimpi itu, Malim Deman bertemu dengan Tuan Saiyid Keramat Wali Allah. Mimpi pertama terjadi sewaktu Malim Deman berada di istana ayahandanya, Tuanku Gombang Malim Dewa. Malim Deman didatangi Tuan Saiyid Keramat Wali Allah yang menceritakan perihal Tuan Puteri Bongsu.
Adapun di antara tuan puteri yang tujuh
Beradik itu seorang yang teramat elok
Rupanya mengalahkan sifat sekalian perempuan
Didalam negeri kayangan:
Minum air berbayang-bayang
Santapan sirih berkaca-kaca.
(halaman 3)
Dan, kata Tuan Saiyid Keramat Wali Allah itu lagi,
Jikalau diukir, sama panjang;
Jikalau dibidas, sama besar,
Jikalau peroman, sama baik;
Sirih pulang ke ganggangnya,
Pinang pula ke tampuknya,
Kuah tumpah ke nasinya,
Harta pulang ke empunyanya;
orang setumbuk bagai gelang,
orang sejodoh bagai cincin.
(halaman 3)
Mimpi kedua terjadi ketika Malim Deman tidur di celah banir sepohon kayu, iaitu sewaktu dalam perjalanan mencari Tuan Puteri Bongsu. Gambaran ruang di alam mimpi dapat ditemui dalam kata-kata Tuan Saiyid Keramat Wali Allah.
Ayuhai anakku Tuanku Malim Deman, pergilah
berjalan ke hulu sungai ini. Maka adalah
seorang puteri bernama Tuan Puteri Terus Mata,
anak Raja Jin Islam, ialah yang ada menaruh
borak kesaktian, pinjamlah oleh anakanda.
(halaman 52)
(ii) Ruang Di Alam Kayang
Negeri kayangan terletak di atas kayangan jauh dari alam bumi. Negeri kayangan diperintah oleh seorang raja yang kental dengan sifat supernartural. Malim Deman terpaksa menghadapi lautan gelap, lautan api, lautan sejuk, lautan kuning, lautan hijau, lautan masin dan lautan biasa untuk sampai ke negeri di kayangan. Gambran ruang alam di negeri kayangan adalah sama sahaja dengan gambaran alam di ruang bumi. Terdapat seorang raja yang mempunyai tujuh orang puteri dan puteri-puteri itu sering bermain di taman Nenek Kebayan yang terletak di hulu Muar. Selain terpaksa menempuh pelbagai jenis lautan, Malim Deman perlu memakai baju terbang atau menunggang burung borak (halaman 51) untuk sampai ke negeri kayangan. Konsep ruang dapat dilihat daripada gambaran sosio-budaya rakyatnya.
Maka orang besar-besar, rakyat hina-dina, laki-laki perampuan, kecil besar, tua muda semuanya berhimpun masuk mengadap ke dalam kota istana membawa sekalian permainan: joget, wayang-wayang mendora, bangkit menari semuanya, terlalu azmat bunyinya, tambahan pula di gelanggang sabung terlalu gegak gempita sorak tempik sekalian juara.
(halaman 67)
(iii) Ruang Di Alam Jin
Ruang di alam jin merupakan satu alam tersendiri. Pemerintahnya bernama Si Raja Jin, mempunyai seorang puteri bernama Tuan Puteri Terus Mata. Perjalanan Malim Deman ke istana Si Raja Jin itu digambarkan:
Selang antara beberapa lamanya menempuh huntan rimba yang besar, dengan takdir Allah subhanahu wataala sampailah kepada suatu padang; di tengah padang itu kelihatan suatu mahligai telalu indah-indah perbuatannya.
(halaman 52)
Tuan Puteri Terus Mata telah memintal Malim Deman menjadi pinang muda dan dimasukkan ke dalam cembul gading lalu diselitkan ke dalam sanggunlnya. Tujuannya, agar tidak dapat dikesan oleh ayahanda yang suka makan manusia. Ruang dan segala isi alam jin dapat diperhatikan dalam petikan di bawah.
Maka Si Raja Jin menitah orang besar-besarnya suruh menghimpunkan rakyat tentera:
Dipukul tabuh larangan
Dititir canang pemanggil
Dipalu orang pelaung.
Maka berhimpunlah sekalian rakyat tentera Si Raja Jin, laki-laki dan perempuan, tua dan muda belaka semuanya datang mengadap:
Yang capik datang bertongkat,
Yang buta datang berpimpin,
Yang pekak leka bertanya,
Yang kecil terambin lintang,
Yang jarak tolak-tolakkan,
Yang pendek tinjau-meninjau,
Yang kurap mengekor angin.
(halaman 81)
Sebenarnya, ruang alam dan istana Si Raja Jin dalam Hikayat Malim Deman tidak terletak di alam kayangan sebagaimana kebiasaan cerita-cerita rakyat. Sebaliknya, istana Si Raja Jin terletak di Hulu Bandar Muar, iaitu dalam alam ghaib yang tidak dapat dilihat oleh mata kasar. Gambaran ruang dan alam pemerintahan Si Raja Jin amat luas meliputi ruang permukaan bumi, ruang udara dan ruang di dalam bumi. Sikap dan sifat rakyat Si Raja Jin digambarkan mempunyai persamaan dengan sikap dan sifat manusia biasa, iaitu ada laki-laki dan perumpuan, ada yang muda dan yang tua. Demikian juga yang capik, buta, pekak, kecil, pendek dan berpenyakit. Malahan, sebagaimana manusia biasa, rakyat Si Raja Jin juga ada yang ingkar pada perintah raja. Keluasan ruang dan sikap rakyat Si Raja Jin dapat difahami dalam petikan berikut.
Maka mana-mana rakyat yang tiada datang, lari ke dalam bumi dan ke atas udara, disuruh oleh Si Raja Jin palu dengan cemeti Nabi Allah Sulaiman itu; semuanya ketakutan datang mengadap Si Raja Jin.
(halaman 81)
b. Ruang Natural
Ruang natural dalam Hikayat Malim Deman berlaku dalam ruang alam nyata, iaitu berkaitan dengan latar tempat berlakunya sesuatu peristiwa. Pengarang menggambarkan latar ruang natural secara halus dan indah, penuh dengan pelbagai makhluk dan gambaran alam.
(i) Kuala Bandara Muar
Kuala Bandar Muar ialah pusat pemerintahan Tuanku Gombang Malim Dewa, iaitu anak kepada Malim Perman dan bapa kepada Malim Deman. Bandar Muar dihuni oleh pelbagai lapisan masyarakat. Penduduknya ramai tidak terkira. Rakyat Bandar Muar hidup mewah kerana terdapat pelbagai kegiatan ekonomi dan perdagangan yang membawa kepada kemakmuran negeri. Pengarang menggambarkan Kuala Bandar Muar sebagai bandar yang permai, makmur dan mewah, sesuai sebagai tempat kelahiran wiranya, Malim Deman.
Maka adapun negeri itu baharu dibuka oleh baginda; adalah seperti gurindam orang dahulu kala:
Awak tua Bandar terbuka,
Emas habis, dagangan mudah,
Kerbau kambing sesak di padang,
Itik angsa tenang kuala
Merpati lindungan langit,
Rengkiang tujuh sejanjar,
Teman dengan sekerat kota,
Emas perak penuh di rumah,
Tangga rumah emas bertuang,
Ibu tangga emas bertitik;
Batuan sawa mengulur,
Penuh sesak hamba sahaya,
Ada yang empat senama.
Ada yang lima senama,
Dilaung di rumah di tanah menyahut,
Dilaung di tanah di rumah menyahut.
(halaman 2)
Bandar Muar terletak di kuala sungai dan telah menjadi sebuah bandar pelaburan yang masyhur. Banyak kapal-kapal dagang singgah berlabuh dan menjalankan kegiatan perdagangan seperti sutera, mastuli, lilin, getah, kesumba, emas dan perak. Kemajuan dalam kegiatan ekonomi menjadikan Bandar Muar sebagai pusat perdagangan.
(ii) Hulu Bandar Muar.
Hulu Bandar Muar terletak jauh di pedalaman. Hikayat Malim Deman menggambarkan sebagai, “…tempat jin yang banyak; tempat syaitan yang banyak,” dan dipenuhi dengan binatang-binatang buruan seperti gajah, rusa, dan badak (halaman 16). Perjalanan menuju ke Hulu Bandar Muar terpaksa menempuh hutan, bukit dan lembah. Oleh sebab Hulu Bandar Muar terletak jauh, bukan sebarangan makhluk boleh sampai. Ramai pengikut Malim Deman yang mati kerana diganggu oleh jin dan syaitan. Alam yang luas itu digambarkan semasa perjalanan rombongan Malim Deman.
Masuk hutan keluar hutan,
Masuk padang keluar padang,
Masuk rimba keluar rimba,
Bertemu cangkat didakinya,
Bertemu lurah sama dituruni,
Habis hari berganti hari,
Habis malam berganti malam,
Habis bulan berganti bulan,
Habis tahun berganti tahun,
Bukan ia mencari buruan,
Gajah dijumpa tiada ditembak,
Rusa dijumpa tiada dikejar,
Badak dijumpa tiada dituruti,
(halaman 16)
(iii) Kampung Nenek Kebayan
Dalam usaha mencari Tuan Puteri Bongsu, Malim Deman banyak mendapat bantuan daripada Nenek Kebayan. Bahkan, perkahwinan Malim Deman dengan Tuan Puteri Bongsu diuruskan oleh Nenek Kebayan. Ruang alam di sekitar kampung dan rumah Nenek Kebayan ketika kedatangan Malim Deman digambarkan dengan kicauan burung-burung yang pelbagai ragam, seperti burung merpati, nuri, ketitir, balam dan sebagainya
(halaman 19 - 20)
Terdapat juga tumbuhan seperti nyiur gading
(halaman 50)
(halaman 19 - 20)
Terdapat juga tumbuhan seperti nyiur gading
(halaman 50)
(iv) Istana Tuanku Gombang Malim Dewa.
Dalam bab 7 pengarang menggambar dengan jelas mengenai ruang alam istana Tuanku Gombang Malim Dewa. Ruang alam dan pengisian ruang istana dapat dilihat sewaktu persiapan perkahwinan Tuan Puteri Bongsu dengan Malim Deman
Arakian, setelah datang keesokan harinya, maka baginda pun berangkatlah keluar ke balairung seri, bersemayam di atas singgahsana takhta kerajaan dihadapi oleh sekalian menteri, hulubalang, temenggung, laksamana, orang besar-besar sekalian
(halaman 37)
Maka terdirilah jogan alam, tunggul panji-panji, merual, payung ubur-ubur berkembangan berarak masuk ke balairung seri. Maka baginda pun mendudukkan anakanda baginda di atas singgahsana dua belas tingkat, dihadapi oleh sekalian jawatannya: sida-sida, bentara, sekalian perkakas kerajaan serta pula inang pengasuh, kanda-mandanya
(halaman 39)
No comments:
Post a Comment