KONSEP
RETORIK
Retorik
ialah seni penulisan atau pengucapan yang berkesan iaitu seni yang memberikan
tumpuan kepada gaya, strategi, bahan, dan khalayak. Selain itu, retorik juga
merupakan seni atau kepandaian komunikasi yang efektif. Menurut Kamus Dewan
Edisi Ketiga (1994), retorik bermaksud teknik pemakaian bahasa secara berkesan
dalam penulisan dan pertuturan. Justeru,
ragam bahasa yang pelbagai diperlukan sebagai cara untuk mempengaruhi pendengar
atau pembaca. Menurut Lanham (1991),
retorik merupakan seni dalam mendapatkan keyakinan seseorang melalui wacana
bahasa. Hal yang sama turut dikemukakan oleh Raminah Sabran (2002), iaitu
retorik ialah seni penulisan. Retorik menyentuh hal yang berkaitan dengan cara
menyampaikan pendapat, idea dan saranan atau cara menghuraikan sesuatu wahana
kepada penulis untuk mempersembahkan pemikirannya, tanggapannya atau
perasaannya dengan jelas dengan gaya yang berkesan. Pemahaman penulis tentang
retorik dan kecekapan menerapkannya amat penting untuk membolehkannya
menghasilkan penulisan yang terdiri daripada wacana yang kukuh. Menurut Asmah
(1998), retorik bermakna kajian tentang penggunaan bahasa secara berkesan.
Berdasarkan konteks yang sesuai, retorik juga dapat diertikan sebagai keupayaan
menggunakan bahasa secara berkesan, atau juga ciri-ciri yang berkesan dalam
bahasa. Retorik menyentuh hal yang berkaitan dengan cara menyampaikan pendapat,
idea, dan saranan, atau cara menghuraikan sesuatu wahana kepada penulis untuk
mempersembahkan pemikirannya, tanggapannya, atau perasaannya dengan jelas
dengan gaya yang berkesan. Pemahaman penulis tentang retorik dan kecekapan
menerapkannya amat penting untuk membolehkannya menghasilkan penulisan yang
terdiri daripada wacana yang kukuh.
Beberapa jenis retorik yang lazim
digunakan dalam sesuatu penulisan atau karya ialah retorik pendedahan atau
eksposisi, naratif, deskriptif, penghujahan dan pemujukan. Antara jenis
tersebut, retorik pendedahan atau eksposisi merupakan retorik paling umum
digunakan dalam penulisan, malah dianggap retorik paling asas. Retorik jenis
ini digunakan dalam membuat pendedahan sesuatu isu, konsep, pandangan, proses
dan sejarah sesuatu dengan menggunakan teknik sama ada deduktif, induktif atau
analogi. Secara lebih mendalam, retorik pendedahan merupakan cara penulis
menyampaikan idea atau pandangan, menginterpretasi peristiwa, menganalisis
masalah sosial dan isu politik, menghuraikan hasil kajian, menerangkan konsep,
memberikan definisi, dan sebagainya. Malah dalam mengaplikasi retorik
jenis-jenis lain sama ada jenis naratif, deskriptif, penghujahan, atau
pemujukan, unsur retorik pendedahan turut digunakan sebagai penerapan. Retorik
pemujukan bermatlamat memujuk pembaca berbuat sesuatu, seperti yang diharapkan
penulis. Keupayaan penulis untuk menguasai audiens amat penting. Diksi yang
tepat dan jalinan ayat yang kemas dan pelbagai memainkan peranan penting kerana
kedua-duanya dapat memberikan tenaga kepada penulisan untuk menarik perhatian
pembaca. Hal yang sama turut dikemukakan oleh Stott dan Avery (2001) yang
menyatakan bahawa sesuatu penulisan yang baik memerlukan gaya yang berkesan.
Gaya merupakan perkataan yang digunakan untuk menjelaskan cara penutur atau
penulis melahirkan idea atau perkara yang ingin disampaikan kepada pendengar
atau pembaca. Dalam kajian tersebut, antara aspek yang diteliti ialah aspek
pemilihan kata, struktur ayat dan susunan kata, penggunaan bahasa kiasan
seperti metafora dan simile, dan penggunaan unsur-unsur retorik.
BAHASA
MELAYU KLASIK
Takrifan
tentang Bahasa Melayu Klasik perlu dibuat terlebih dahulu sebelum kita
memahaminya. Menurut Kamus Dewan (1986), perkataan klasik sebagai kesenian atau
kesusasteraan yang lama atau yang mempunyai sifat-sifat yang tidak lagi
terpakai. Perkataan klasik juga turut diberikan beberapa definisi oleh pengkaji
bahasa. Antaranya ialah Asmah Hj.Omar (1993), “ bahasa abad ketiga belas dan
ketujuh belas itu dinamakan bahasa Melayu Klasik”. Bahasa Melayu klasik
pula menurut Ismail Hussein (1966), “ pembahagian bahasa Melayu Klasik di buat
oleh adalah atas pertimbangan sejarah perkembangan bahasa Melayu”. Pembahagian
ini dibuat mengikut zaman politik iaitu zaman Srivijaya, Majapahit, Melaka, dan
sebagainya. Contohnya pada zaman politik Srivijaya, masyarakatnya yang beragama
Hindu dan Buddha, menggunakan tulisan yang dibawa dari India, sasteranya
dipenuhi oleh cerita-cerita sastera India dan bahasa Melayunya dengan pinjaman
kata-kata Sanskrit.
Permulaan zaman bahasa Melayu
klasik adalah pada abad ke -13 apabila pengaruh agama Islam menjadi makin
dominan di Nusantara. Perkembangan agama Islam membawa bersama-samanya bahasa
Arab. Zaman ini memperlihatkan kemasukan perkataan Arab dan tulisan Jawi yang
menggunakan huruf-huruf Arab. Menurut Ismail Hussein (1966), bahasa Melayu
Klasik bermula sekitar abad ke-13 dan ke-14 dan beliau menyebutnya sebagai
zaman peralihan apabila di seluruh kepulauan Melayu setelah kedatangan agama
Islam. Kenyataan ini disokong dengan bukti catatan Marco Polo tentang pengislaman
Pasai pada tahun 1292M sewaktu beliau melawat Sumatera Utara. Selain itu,
permulaan bahasa Melayu klasik boleh ditandai dengan kemunculan dan keagungan
kerajaan Melayu Melaka dan bahasa Melayu klasik menjadi medium dalam
pemerintahan, perhubungan, perdagangan, dan penyebaran agama Islam. Perkembangan
bahasa Melayu klasik pula bermula dengan kedatangan pengaruh agama Islam dan
bahasa Arab yang telah menyebabkan bahasa Melayu melangkah setapak lagi dengan wujudnya
sistem tulisan, iaitu tulisan Jawi. Daripada wujudnya sistem tulisan ini maka
terhasillah karya-karya yang besar dan agung daripada tokoh-tokoh seperti Hamzah
Fansuri, Syamsuddin al-Sumaterani, Syeikh Nuruddin al-Raniri dan Abdul Rauf
al-Singkel.
Bahasa Melayu klasik, mempunyai beberapa
ciri-ciri bahasa. Antara ciri tersebut ialah ayat yang panjang, berulang,
dan berbelit-belit. Ayat yang digunakan kebanyakannya ialah ayat pasif dan
songsang. Selain itu dalam bahasa Melayu klasik terdapat penggunaan kata
pangkal ayat yang agak meluas contohnya seperti "syahadan",
"maka", "alkisah", "hatta", "arakian",
"kata sahibul hikayat", "maka, tatkala" dan "adapun. Kata-kata seperti itu bukan sahaja digunakan untuk
memulakan sesuatu perenggan, malah digunakan juga pada awal ayat-ayat dalam
perenggan. Bahasa Melayu klasik juga terdapat gabungan beberapa ayat tunggal
yang dicantumkan dengan menggunakan kata-kata hubung yang tertentu, terutamanya
"dan" dan "atau" ataupun dengan menggunakan tanda koma dan
tanda koma bertitik sahaja. Contoh ayat bahasa Melayu Klasik seperti ayat
berikut “Maka apabila dibawalah akan mereka itu ke penghadapan Tajul Muluk,
demi terpandang akan anak si peladang itu, mesralah ke dalam hatinya, diberinya
wang yang tiada berhisab banyaknya serta disuruh perbela akan dia baik-baik”.
Dalam bahasa Melayu klasik juga, terdapat perubahan
dari aspek bentuk ayat yang digunakan. Bentuk
ayat yang lebih lumrah digunakan, ialah bentuk ayat pasif, iaitu bentuk ayat
yang lebih mengutamakan objek pelaku atau subjek. Sebagai contoh, “Hatta datanglah kepada suatu hari maka
Hamzah dan Umar Umayyah dibawanya oleh Khoja Abdul Mutalib kepada
mualim ……”.
Selain itu, dalam bahasa Melayu klasik juga banyak
menggunakan partikel “pun”dan “lah”. Contoh perkataan yang digandingkan dengan
partikel ialah seperti “adapun, bertitahlah, dan berebutlah”. Manakala contoh
penggunaan partikel dalam ayat pula ialah seperti berikut;
“
Maka Bendahara pun hairanlah kalam raja seperti dikhatankan orang rupanya”.
Sehubungan itu terdapat pengaruh daripada beberapa bahasa lain dalam bahasa
Melayu klasik kerana di kepulauan Melayu ketika itu bahasa Arab dan Sanskrit
bertapak kukuh lantaran aktiviti perdagangan dan penyebaran agama Islam. Contoh
penggunaan bahasa Arab ialah “Allah Taala, makhdum, mualim daulat,
wallahualam, takzim. Bagi bahasa Sanskrit pula ialah “dosa, pahala, dan
raja” . Bahasa Melayu Klasik juga menerima fonem Arab seperti ‘kh’,
‘dz’, dan ‘sy’. Contoh perkataan seperti “khamis, zakat, syarat”. Bahasa
Melayu Klasik juga lebih banyak menggunakan kiasan dan perbandingan serta
penggunaan laras bahasa puisi, seperti pantun, syair, seloka dan gurindam dalam
karya prosa. Buktinya ialah terdapat banyak dalam hikayat-hikayat Melayu lama.
Mungkin disebabkan oleh sifat sastera Melayu klasik itu sendiri, yang pada
asalnya dalam bentuk lisan dan penggunaan unsur-unsur tersebut dikatakan dapat
menghidupkan suasana penceritaan. Ketika itu juga banyak menggunakan laras
bahasa istana.
Ringkasnya kosa kata daripada bahasa Arab banyak digunakan. Penggunaan bahasa
Melayu dapat dilihat dalam beberapa buah karya seperti Hikayat Raja-raja Pasai,
Misa Melayu, Sejarah Melayu, Hikayat Hang Tuah, Hikayat Negeri Johor dan banyak
lagi karya yang ditulis dalam tulisan Jawi.
TUHFAT
AL-NAFIS
Tuhfat al-Nafis pula merupakan
sebuah hasil sejarah Melayu yang penting. Karya sejarah ini memperlihatkan
betapa besarnya Raja Ali Haji sebagai seorang ahli sejarah dan pencatat
peristiwa zamannya. Buku ini dibahagikan kepada dua bahagian. Pertama,
kandungannya memperkatakan hal-hal yang berlaku sebelum zamannya yang
merangkumi lapan puluh peratus daripada kandungannya. Sementara bahagian kedua,
memperkatakan sejarah semasa yang ditulis berlaku ketika hayatnya. Ini
dapat diperjelaskan dengan melihat peristiwa atau episod-episod tertentu yang
diperihalkan oleh pengarang dalam
teks ini. Antaranya adalah seperti berikut :
a) Perihal
Raja Kecil dan Opu Bugis Lima bersaudara.
Pada awal teks ini lagi, kita dapat meneliti bagaimana Raja Ali Haji
dalam mengarang teks ini. Tuhfat al-Nafis
yang dikarang oleh Raja Ali Haji pada 3
Syaaban 1282H/1865M dikatakan sebagai
kelanjutan dari Salasilah Melayu dan Bugis ini dapat dibuktikan dengan
caranya mengungkapkan hal-hal yang berkaitan dengan Raja Kecil dan Opu Bugis
Lima Bersaudara. Ini dapat di teliti melalui bahagian-bahagian yang
diperihalkan oleh raja Ali Haji dalam teks ini, misalnya:
“Adalah Encik Pong itu dipakai memang oleh baginda itu, telah bunting
memeng, konon. Waktu baginda mangkat, orang-orang tengah bergadukan hal baginda
itu. Maka encik Pong dilarikan oleh Panglima Bebas, dibawanya ke Pagar Ruyung,
kepada puteri Janilan, lalu encik Pong beranak disitu, iaitu laki-laki….”(edisi 1965, hlm. 13)
Laki-laki yang dimaksudkan disitu adalah perihal kelahiran Raja Kecil. Dalam
masa yang sama beliau memerihalkan latar belakang Upu-upu Bugis Lima
Bersaudara. Keadaan ini sebenarnya adalah bertujuan untuk memberi gambaran
kepada para pembaca bahawa Upu-upu Bugis merupakan daripada keturunan kaum
Bugis. Maka tidak hairanlah, perihal-perihal Upu-upu Bugis terdapat banyak dalam
Tuhfat al-Nafis, contohnya:
“Adalah puteranya (Tendari Burung Daeng Ralaka) yang lima orang itu
baik-baik belaka parasnya, serta dengan sikap pahlawannya. Akan tetapi Upu
Daeng Celak yang tersangat baik parasnya, memberi ghairah hati
perempuan-perempuan memandangnya…”(edisi 1965,
hlm. 15)
b) Peristiwa
Perjanjian Antara Bugis dengan Minangkabau untuk menyerang Johor-Riau
Dalam menceritakan peristiwa berkenaan
perjanjian antara Bugis dengan Minangkabau untuk menyerang Johor-Riau, Raja Ali
Haji juga telah memerihalkan peristiwa tersebut. Raja Ali Haji mengatakan (berdasarkan
teks), Raja Kecil telah berjumpa dengan Upu-upu Bugis Lima bersaudara untuk
melanggar Johor. Akan tetapi, pihak Bugis telah menolak pelawaan tersebut
kerana pada fikiran mereka, itu adalah tipu dan muslihat Raja Kecil sahaja.
Justeru itu, Raja Ali Haji mengungkapkan dalam teks ini :
“Syahdan di dalam tengah-tengah bersiap akan alat peperangan itu maka
Opu-opu Bugis yang berlima beradik itu pun tibalah ke Bengkalis datang daripada
mengembara. Maka berjumpalah ia dengan Raja Kecil. Maka Raja Kecil pun
mengajaklah ia melanggar negeri Johor…Maka tiada ia mahu. Maka didalihkannya
hendak ke Langat dahulu, mencari muafakat dengan Bugis yang di Langat itu. Maka
tiadalah jadi Bantu membantu itu.”(edisi 1965, hlm. 16)
C) Bantuan
Bugis Kepada Johor-Riau Untuk Mengalahkan Raja Kecil.
Di dalam episod ini, Raja Ali Haji telah
menyebut kisah bantuan Bugis kepada Johor-Riau dan perjanjian selepasnya. Perjanjian
ini sebenarnya adalah perjanjian yang dibuat atas permintaan Opu Bugis
tersebut. Dengan melihat petikan, Raja Ali Haji memberi satu gambaran terhadap Opu-opu
Bugis Lima Bersaudara berhubung bagaimana kedatangan mereka ke Johor khasnya
dan Tanah Melayu, umumnya. Maka berkatalah ia Raja Ali Haji dalam Tuhfat al-Nafis
:
“Maka Menjawablah Opu Dahing Parani, ‘ seperti saya semua adik-beradik
sama saja yang patut kepada hati baginda Sultan Sulaiman saya terimalah, akan
tetapi yang saya seorang, tiada saya mahu jadi raja kerana saya ini yang tua
sekali, tiada lain hanyalah mencari ketetapan saudara saya yang berempat
ini.’Maka menjawab pula Opu Dahing Menambu, ‘saya ini tiada sanggup menjadi
Yang Dipertua Muda di tanah barat ini. Kerana saya sudah berjanji dengan Sultan
Mantan akan memelihara akan negeri Mempawa, tiadalah saya mahu mengecilkan hati
mertua saya itu.’ Maka menjawablah dahing Celak , ‘saya ini selagi ada abang
saya ini, iaitu Kelana Jaya Putera, tiada saya mahu menjadi Yag Dipertua Muda.’
Maka menjawablah Opu Dahing Kemasi , ‘adapun saya ini tada berhajat manjadi
Yang dipertua Muda di tanah barat kerana jauh amat dengan Bugis,
bersalahan jikalau seperti
di Manatan dan Sambas itu mana kemuafakatan abang-abang sayalah .’ Menjawab pula
Kelana Jaya Putera, ‘Adapun saya jikalau bercerai dengan saudara-saudara saya,
tiada saya mau menjawab Yang Dipertua Muda di tanah barat ini.’ Demikianlah
kata sekalian Opu-opu Bugis itu.”(edisi 1965.
hlm. 83)
d) Yam Tuan
Muda Johor membunuh Seluruh Keluarganya.
Raja Ali Haji telah menceritakan peristiwa
Yam Tuan Muda membunuh seluruh keluarganya. Beliau memerihalkan episod
ini dalam Tuhfat al-Nafis,
seperti berikut:
“….Maka Raja Muda pun mengamuk pula, kerana fikirnya daripada
isterinya diambil Minangkabau, diperbuatnya gundik, terlebih baik biar hilang
sekali. Kemudian Yam Tuan Muda itu mengamuk menyerbukan diri…(edisi 1965, hlm.
43)
e) Raja Kecil
Memperolehi semula Isterinya, Tengku Kamariah.
Manakala dalam episod ini, Raja Ali
Haji menceritakan peristiwa bagaimana keingkaran Raja Kecil terhadap perjanjian
yang dibuatnya dengan Sultan Sulaiman. Maka berkata Raja Ali Haji dalam Tuhfat al-Nafis
selepas peristiwa Raja Kecil mengingkari perjanjian tersebut:
“Maka raja Kecil pun …sudah berubah akalnya… maka apabila Sudah hilang
Tengku Kamariah itu, maka Raja Kecil pun selalunya gila sekali, lalu ia tidur
di kubur isterinya …Maka Raja Kecil pun jatuhlah sakit sangat di dalam gilanya
itu, Maka tiada berapa lamanya mangkatlah, innalilahi wa inna ilahi rajiun”
(edisi 1965, hlm. 92-93)
Kemangkatan Raja Kecil setelah jatuh sakit
dikatakan sebagai kembali memperolehi isterinya Tengku Kamariah.
f) Peperangan
Antara Minagkabau dengan Bugis di Kedah dan kemangkatan Daeng Parani.
Sementara dalam episod ini, kita
dapati Raja Ali Haji telah menyatakan bahawa kemangkatan Daeng Parani bukannya
dibedil oleh Raja Kecil. Sebaliknya beliau mengatakan kemangkatan Daeng Parani
… “dengan takdir Allah Ta’ala serta sampai janjinya”. Raja Ali Haji dalam
episod tersebut mengatakan :
“….maka
dengan takdir Allah Ta’ala serta dengan sudah sampai janjinya, maka Opu Dahing
Parani pun kenalah peluruh meriam tentang dadanya. Maka iapun mangkatlah…”(edisi
1965, hlm. 92)
Justeru itu, merujuk petikan di atas,
ia menunjukkan kepada kita bahawa Raja Ali Haji memberi gambaran sedemikian
untuk menunjukan kehandalan Opu Bugis Lima Bersaudara yang tidak dapat
dikalahkan oleh raja kecil melainkan takdir allah.
RETORIK DALAM TUHFAT AL-NAFIS
Beberapa jenis
retorik yang lazim digunakan dalam sesuatu penulisan atau karya ialah retorik
pendedahan atau eksposisi, naratif, deskriptif, penghujahan dan pemujukan. Retorik
dalam Tuhfat al-Nafis akan cuba di kupas oleh penulis untuk menunjukkan bahawa
keindahan retorik terdapat dalam teks Melayu klasik khususnya dan Tuhfat al-Nafis
amnya. Justeru itu penulis akan memberikan beberapa contoh retorik yang ditemui
dalam Tuhfat al-Nafis karangan Raja Ali Haji ini. Contoh retorik yang digunakan
adalah retorik pendedahan atau eksposisi. retorik pendedahan atau eksposisi merupakan
cara penulis menyampaikan idea atau pandangan, menginterpretasi peristiwa,
menganalisis masalah sosial dan isu politik, menghuraikan hasil kajian,
menerangkan konsep, memberikan definisi, dan sebagainya. Contoh retorik
pendedahan dalam Tuhfat al-Nafis adalah :
“ Syahadan apabila mangkatlah ia menggantikan kerajaannya puteranya
yang bernama Raja Mahmud bergelar Sultan Mahmud Syah. Maka masa kerajaan
baginda inilah, ia membunuh saudaranya itu, iaitu yang berama Raja Zainal,
kerana Raja Zainal itu baik parasnya cantik manis, memberi ghairat segala hati
perempuan melihatnya. Dan banyaklah anak-anak orang Melaka berahi akan dia
hingga anak isteri orang tiadalah berketentuan mengidah Raja Zainal itu dengan
bunga bergubah dan sirih bersulur. Mana-mana yang perkenan diambilnya dan
mana-mana yang tiada berkenan diberikannya pada segala juak-juaknya. Maka
cabullah negeri Melaka itu dengan hal yang demikian itu. Maka menitahkan Sultan Mahmud itu akan seorang hambanya menikam
(saudaranya) Raja Zainal itu malam-malam, pada tempat peraduannya itu. Maka
telah mangkatlah Raja Zainal itu digemparkan oleh orangnya dalam negeri itu
mengatakan Raja Zainal itu mangkat ditikam pencuri konon adanya. (edisi 1991.
hlm. 135)
Retorik pendedahan dalam Tuhfat al-Nafis ini
mendedahkan akan masalah sosial dan isu politik di negeri Melaka. Kisah Raja
Zainal yang menggunakan ketampanannya untuk berpoya-poya dengan perempuan di
negeri Melaka. Manakala kisah Raja Mahmud yang sanggup membunuh saudaranya Raja
Zainal kerana cemburukan kelebihan yang dimiliki oleh saudaranya itu.
Pengarang Raja Ali Haji dalam
Tuhfat al-Nafis juga turut menggunakan retorik penghujahan. Retorik penghujahan
ini mampu menyakinkan pembaca terhadap kewajaran sesuatu perkara dan seterusnya
bersetuju dengan perkara itu. Terdapat dua ciri utama retorik ini iaitu
penulisan itu mesti mengandungi gagasan atau usul dan harus disertakan dengan
bukti. Contoh penggunaan retorik penghujahan oleh Raja Ali Haji dalam Tuhfat al-Nafis
adalah seperti berikut :
“ Kemudian telah putus(lah)
musyawarah itu lalulah Yang Dipertuan Muda menyerahkan Pulau Karimun (dan
Kundur) itu kepada (saudara( ((sepupunya)) Raja Abdullah, dan Pulau Kundur itu
jadi ketetapan selama-lamanya kepada Raja Ali Haji berdua bersaudara dengan
Raja Abdullah ((itu pada)) mengamanahkan(nya) pada meramaikannya, dan
hasil(hasil)nya dibahagi lima seperti yang tersebut di dalam surat kuasanya
itu. Melainkan Pulau Kundur tiada masuk bahagian yang lima itu”.(edisi 1991,
hlm. 616)
Kandungan Tuhfat al-Nafis ini menjelaskan
tentang ketetapan bahawa penyerahan Pulau Karimun dan Pulau Kundur kepada Raja
Abdullah supaya dapat dimajukan oleh Raja Abdullah. Hasil yang kemajuan yang
diperolehi akan dibahagikan kepada lima seperti mana yang telah diputuskan
dalam surat perjanjian penyerahan Pulau Karimun kepada Raja Abdullah itu.
Tuhfat al-Nafis juga turut
mengandungi retorik lain iaitu retorik pemerian. Retorik pemerian adalah
bertujuan untuk memerihalkan sesuatu. Penulisan itu semata-mata cerminan benda
atu perkara sebenar yang diperihalkan, iaitu penulisan yang memaparkan sesuatu
bagaimana adanya. Retorik pemerian terbahagi kepada dua jenis iaitu bersifat
saintifik dan fakta. Penulisan jenis ini berasaskan fakta sebenar yang ada pada
sesuatu objek. Jenis yang kedua pula
bersifat imaginatif iaitu memberikan gambaran yang abstrak yang memerlukan
audiens menggunakan daya imaginatif dan daya fikir untuk menghayatinya. Contoh
yang di berikan oleh Raja Ali Haji seperti :
“ Maka lalu
dikeluarinya oleh orang Siak (itu), serta orang Siantan, mana-mana (yang)
sebelah dia. Maka lalulah (beramuk-amukan mula-mulanya), berbedil-bedilan
dengan meriam (dan) lela. Kemudian berapat berbedi(-bedil)an dengan senapang (dan)
pemuras. Kemudian berapat (bercencangkan kelewang dan pedang dan) bertikamkan
(lembing, tombak. Kemudian berapat bertikamkan) keris (pendek, ada yang
bertikam bercengkeng pinggang sama seorang). Maka sangat ramainya (perang itu),
kerana sama(sama) tiada mau undur (anak-anak Selangor dengan anak Siak)”.(edisi
1991, hlm. 279)
Retorik pemerian yang diatas adalah retorik
pemerian imaginatif yang memerlukan pembaca menggunakan daya imaginatif dalam
menggambarkan suasana peperangan yang berlaku di antara Selangor dan Siak.
Suasana peperangan yang menggunakan senjata seperti keris, senapang dan
sebagainya.
Retorik lain yang ingin diketengahkan adalah
retorik pemujukan. Retorik pemujukan menggunakan bahasa pujukan untuk mempengaruhi pemikiran
dan keyakinan orang lain agar mempercayai sesuatu perkara yang diperkatakan. Ciri-ciri pemujukan seperti menggunakan bahasa yang manis, menarik dan mementingkan kehalusan berbahasa serta
berunsurkan aspek psikologi. Dua jenis pemujukan
iaitu pemujukan rasional ( penghujahan,
penyampaian fakta, dan data adalah lengkap) dan pemujukan tidak rasional (melibatkan emosi). Contoh retorik pemujukan yang ditemui
oleh penulis dalam Tuhfat al-Nafis adalah :
“ Maka berkatalah
Pengeran Dipati itu kepada Gusti Jameril, “Adapun cucuku ini aku hendak (ambil)
buat menantu. Cucuku pilihlah anaku yang dua orang itu mana-mana suka cucuku.”
Maka jawab Gusti Jameril, “adapun (yang) seperti kehendak nenda belumlah patik
boleh menentukan bermohonlah patik mengadap paduka anak anda Pangeran Emas Seri
Nagara dahulu.” (edisi 1991, hlm. 232)
Pemujukan yang di atas adalah pemujukan tidak
rasional yang melibatkan emosi iaitu apabila Pengeran Dipati memujuk Gusti
Jameril untuk memilih antara dua cucunya bagi dijadikan isteri buat Gusti
Jameril. Gusti Jameril meminta izin untuk beliau berjumpa dengan ayahnya
sebelum beliau membuat keputusan.
Begitulah retorik yang berjaya ditemui oleh
penulis untuk menunjukkan bahawa penulis Tuhfat al-Nafis iaitu Raja Ali Haji
telah berjaya memperindahkan karyanya dengan penggunaan retorik Melayu klasik
yang akhirnya karya ini diangkat menjadi karya agung Melayu.
PENUTUP
Berdasarkan huraian di atas jelaslah
bahawa penulisan retorik Melayu klasik mempunyai sejarahnya yang tersendiri.
Pada zaman inilah pelbagai kosa kata telah diambil khususnya dari barat seperti
Arab, Portugis, Belanda dan Inggeris untuk diasimilasikan dengan situasi
tempatan. Ini secara tidak langsung telah menambah kosa kata termasuk
juga hasil-hasil kesusasteraan Melayu seperti Tuhfat al-Nafis karangan Raja Ali
Haji. Raja Ali Haji meninggalkan beberapa
banyak karya yang terkenal dan menjadi kajian intelektual baik peringkat alam
Melayu mahupun peringkat antarabangsa, iaitu Gurindam Dua Belas, ( 1846 M ),
Bustanul- Katibin Lissubyanil-Muta’alimi,(1267 H/1850 M ), Kitab Pengetahuan
Bahasa (1865 M), Salasilah Melayu dan Bugis (1860 M) Tuhfat al-Nafis (1865 M),
Thamarat al-Muhimmat Li Jafahli al umara Wal Kubara Li Ahli al Mahkamah, Syair
Nikah, Syair Gemala Mustika, Syair Abdul Muluk, Jauharat Makmunah, Syair Suluh
Pegawai dan lain-lain. Faktor yang menganggap Raja Ali Haji sebagai pelopor
penulisan sejarah Melayu di kalangan tokoh-tokoh sejarah tradisional yang lain
ialah kerana kesedarannya dalam menulis sejarah, serta motif penulisannya
adalah untuk kepentingan sejarah. Tegasnya bahasa Melayu Klasik pada
masa itu berperanan sebagai bahasa “intelektual”.
No comments:
Post a Comment