1.0
PENGENALAN
Karya agung Melayu, Pantun Melayu: Bingkisan Permata yang
dikaji dan diperkenalkan oleh Harun Mat Piah menghimpunkan lebih 4000 rangkap
pantun, puisi istimewa ciptaan orang Melayu. Buku ini memuatkan pelbagai jenis
dan bentuk pantun, yang meliputi tema
dan isi yang luas serta pelbagai. Bingkisan
Permata merupakan tajuk kecil daripada judul koleksi pantun ini sesuai
dengan konsep bingkisan, iaitu bungkusan (barang kiriman, buah tangan) yang
biasanya disertai surat untuk disampaikan kepada orang yang dikasihi dan
dihormati. Permata merujuk kepada
pantun yang menjadi warisan budaya masyarakat Melayu, manakala penerima yang
dimaksudkan ialah masyarakat atau bangsa Melayu di seluruh Nusantara yang
mewarisi tradisi ini.
Oleh itu, sesuai dengan
konsep bingkisan yang diketengahkan
oleh karya ini, buku ini telah dibahagikan kepada empat bahagian, iaitu Bingkis Pemula, Bingkis Bicara, Bingkis
Kasih dan Bingkis Penutup. Bingkis Pemula merupakan himpunan pantun
dengan maksud memulakan bicara, majlis atau warkah. Bingkis ini dimulai dengan
“Awal Bismillah” yang merupakan kata alu-aluan memulakan majlis; diikuti oleh
pantun-pantun ringan yang membawa maksud jenaka dan usik-mengusik. Bingkis Bicara pula mengetengahkan
tema-tema pantun yang agak berat, bermula tentang ‘Adat dan Etika’, ‘Budi dan
Adab’, ‘Agama dan Pengajaran’, ‘Peribahasa, Kiasan dan Ibarat’ dan kemudian
tentang ‘Perantauan dan Nasib’.
Pantun-pantun yang
mengangkat tema percintaan pula dihimpunkan dalam Bingkis Kasih. Misalnya dalam ‘Cinta Bersemi’ ialah pantun yang
membawa maksud usik-mengusik, berkenalan dan berjanji, diikuti dengan ‘Hasrat
Tercapai’ yang menggambarkan kegembiraan dalam hidup berkasih dengan
tercapainya cita-cita dan harapan para kekasih, misalnya untuk sehidup semati
dalam ikatan perkahwinan. Bab ini diakhiri dengan tema ‘Kasih Terhalang’ dengan
maksud harapan yang tidak kesampaian, terhalang oleh peristiwa-peristiwa
tertentu. Karya ini diakhiri dengan Bingkis
Penutup yang merupakan himpunan pantun sebagai penutup pembicaraan.
Sebagai sebuah karya agung,
Bingkisan Permata menghimpunkan
rakaman kebijaksanaan masyarakat Melayu lama dalam membuat pengamatan yang
tajam terhadap keadaan dan perkara yang berlaku dalam kehidupan mereka.
Pantun-pantun yang tercipta mengandungi pemikiran atau falsafahnya yang
tersendiri dalam menjalankan peranannya sebagai medium untuk berkomunikasi dan
berhibur dan pada masa yang sama mendidik khalayak pembaca dengan nilai-nilai
yang positif.
1.1
Ciri-ciri Pantun Melayu
Pantun merupakan satu puisi
Melayu yang berangkap dan menggunakan bahasa-bahasa indah. Pantun ialah karya puisi Melayu lama yang bukan
sekadar sarat dengan makna tetapi juga padat dengan nilai keindahannya (Mohd
Rashid Md.Idris, 2011: 67). Pantun merupakan warisan puisi Melayu tradisional
yang tak lapuk dek hujan dan tak lekang dek panas. Pantun pada
kebiasaannya mempunyai empat rangkap, tetapi pantun boleh mempunyai rangkap
yang genap bermula daripada dua, empat, enam sehingga empat belas. Setiap
rangkap pantun terbahagi kepada dua bahagian, iaitu bahagian pembayang pada
separuh rangkap pertama, dan bahagian maksud pada separuh rangkap kedua. Bagi
pantun dua kerat pula, baris pertama adalah pembayang dan baris kedua adalah
maksud. Rima atau bunyi akhir di hujung baris adalah sejajar. Setiap baris
pantun mempunyai sembilan atau sepuluh suku kata walaupun terdapat rangkap
pantun yang mempunyai lapan sehingga dua belas suku kata.
Pantun mementingkan keseimbangan bunyi antara rangkap
pembayang dengan rangkap maksud. Keindahan dalam pantun dilihat daripada aspek
rima akhir serta eufoninya. Eufoni merupakan kombinasi yang dianggap enak dan
sedap didengar. Kata-kata yang dipilih bagi mencipta pantun harus berima dan
beralun. Selain itu, dalam pantun Melayu juga mengandungi unsur emotif yang
boleh membangkitkan perasaan untuk menjadikan sesuatu pantun lebih berkesan dan
bermakna. Melalui bentuknya yang kemas dan padat, pantun berjaya menjadi alat
yang penting untuk menghibur, memberi nasihat, menduga akal, meluahkan perasaan
dan menyedapkan cakap. Pantun turut berfungsi sebagai media untuk menyampaikan
hasrat yang seni atau rahsia yang tersembunyi melalui penyampaian yang berkias.
1.2
Mesej dan Tema
Secara umumnya, puisi
Melayu bertujuan menyampaikan amanat dan perutusan yang bersifat didaktik,
membina dan membimbing masyarakat khalayaknya ke jalan kebenaran. Pemilihan
teks untuk pantun menekankan pentingnya aspek menyampaikan mesej dan tema yang
baik, sesuai dengan nilai dan tanggapan masyarakat Melayu. Aspek mesej atau tema
dianggap sebagai estetika dalaman atau unsur etika yang dianggap penting dalam
puitika sastera Melayu. Pemilihan pantun perlu disesuaikan dengan tema dan
mesej yang ingin disampaikan.
2.0
BINGKIS PEMULA
Bingkis
Pemula
merangkumi pantun-pantun pembuka bicara. Selain itu, Bingkis Pemula juga turut mengetengahkan pantun-pantun yang
mengandungi tema yang ringan, iaitu pantun jenaka, teka teki dan sindiran serta
pantun kanak-kanak.
2.1
Pembuka bicara
Menurut Harun Mat Piah (2001: xxvi) pantun pembuka
bicara digunakan untuk memulakan sesuatu bicara, majlis atau warkah. Pada zaman
moden, pantun pembuka bicara telah digunakan dalam majlis rasmi untuk
mengucapkan selamat datang, kata sanjungan dan pujian, ucapan terima kasih dan perpisahan (Mohd
Rashid Md Idris, 2011:159). Contohnya:
Sirih lipat sirih pinang,
Sirih
dari Pulau Mutiara;
Pemanis kata selamat datang,
Awal
Bismillah pembuka bicara.
[Bingkisan
Permata, 2001:13]
Pantun
ini sering digunakan pada sesuatu majlis
rasmi pada masa kini untuk meraikan jemputan atau hadirin
yang hadir dan dimulai dengan lafaz bismillah sebagai kata alu-aluan
sebelum memulakan majlis tersebut.
Bukan lebah sebarang lebah,
Lebah
bersarang di rumpun buluh;
Bukan sembah sebarang sembah,
Sembah
menyusun sepuluh jari.
[Bingkisan Permata, 2001:13]
Pantun ini digunakan oleh
pembesar atau rakyat ketika sistem pemerintahan beraja pada zaman dahulu.
Lazimnya, sebelum menyampaikan sesuatu
berita atau perkhabaran pembesar atau
rakyat jelata akan menjadikan pantun ini sebagai pemula bicara sebelum mereka
menyampaikan tujuan mereka yang sebenarnya. Hal ini demikian kerana pada zaman
dahulu raja merupakan ketua pemerintah yang sangat disanjung dan dihormati oleh
rakyat dan pantun ini digunakan untuk memuliakan kedudukan sultan itu sendiri
sebagai pemerintah yang berkuasa.
2.2
Jenaka
Memandangkan masyarakat
Melayu lama tidak mempunyai saluran atau media yang canggih untuk menghiburkan
hati setelah penat bekerja, maka pantun jenaka dijadikan sebagai medium untuk
mereka mengubat lara di hati dan juga melepaskan segala kelelahan sama ada dari
segi fizikal dan mental. Hal ini demikian kerana pantun tersebut mengandungi
unsur kelucuan yang dapat menimbulkan
keriangan dalam kehidupan seharian mereka. Contohnya:
Belimbing
manis rebah di tebang,
Kemiri tanam berleret-leret;
Kambing
berbaris tengah padang,
Biri-biri menghembus trompet.
[Bingkisan Permata, 2001:56]
Jika
lengang dalam negeri,
Marilah kita pergi ke kota;
Hairan
tercengang kucing berdiri,
Melihat tikus naik kereta.
[Bingkisan Permata, 2001:61]
2.3
Teka-Teki
Pada zaman dahulu pantun
teka-teki digunakan sebagai medium untuk menguji minda atau kebijaksanaan mereka. Menurut Mohd Rashid Md Idris (2011:127) sifat yang
terkandung pada pantun teka teki yang memerlukan jawapan merupakan jawapan adalah merupakan satu
daripada alat untuk menggerakkan cara berfikir secara spontan dan membina
kemahiran berfikir dengan tepat. Lazimnya, teka teki ini akan disampaikan
kepada khalayak ramai dan keadaan tersebut akan menimbulkan suasana riang dan
seterusnya akan mengeratkan hubungan silaturrahim sesama mereka. Contohnya:
Bawa
kerakap dengan batangnya,
Buat bekal pergi ke bendang;
Cuba
teka apa binatangnya,
Berbunyi
seperti gong dan gendang.,
[Bingkisan Permata, 2001:55]
Orang
Sunda ke Pulau Barus,
Sarat perahunya bermuat kopi;
Apakah
benda badannya kurus,
Digenyeh
kepala terbitlah api.
[Bingkisan Permata, 2001:70]
2.4
Sindiran
Penggunaan pantun adalah
untuk menghindarkan kata-kata kasar dan tajam ketika menyindir perbuatan atau sifat seseorang yang
kurang baik atau salah. Hal ini demikian kerana masyarakat Melayu kaya dengan
kehalusan dan kesopanan ketika berbual dan sering menyampaikan sesuatu mesej
dengan cara terselindung. Menurut Nor Hashimah Jalaluddin dalam Mohd Rashid Md
Idris (2011:74) dalam masyarakat Melayu perkara yang hendak disampaikan perlu
dibicarakan dengan gaya yang sopan dan tertutup, iaitu secara terselindung dengan
menggunakan tutur kata yang manis. Jika sindiran-sindiran tersebut disampaikan
secara berterus terang akan mewujudkan perasaan yang tidak harmonis seperti
terkilan atau tersinggung dan juga akan mewujudkan perasaan sakit hati yang
akhirnya membawa perselisihan faham. Penggunaan pantun akan meninggalkan kesan
yang lebih tepat dan tajam kepada seseorang yang disindir.
Apa guna berkain batik,
Kalau tidak memakai capal;
Apalah guna beristeri cantik,
Kalau tak pandai menumbuk sambal.
[Bingkisan Permata, 2001:55]
Pantun tersebut
menyampaikan sindirannya terhadap sikap orang perempuan yang telah berkahwin
yang hanya sibuk mencantikkan diri tetapi tidak pandai menguruskan rumah tangga
dengan sebaiknya.
Hingguk-hingguk goyang-goyang,
Nasi lemak gulai lembu;
Taruh janggut tidak sembahyang,
Buat semak
bawah dagu.
[Bingkisan Permata, 2001:61]
Solat merupakan amalan
pertama yang akan dihisab oleh Allah pada Hari Pembalasan kelak. Hal ini
demikian kerana solat merupakan tiang agama yang mampu mencegah manusia
daripada melakukan kemungkaran terhadap Allah S.W.T. Pantun ini sebenarnya
menyindir sikap orang lelaki yang
menunjukkan perwatakan yang alim tetapi sebenarnya tidak mengamalkan
ajaran Islam dalam hidupnya.
2.5 Pantun Kanak-Kanak
Menurut Sulaiman Masri,
Abdullah Yusuf dan Mohd Ra’in Shaari (2006: 313) pantun kanak-kanak digunakan memberi nasihat.
Contohnya:
Ayun anak ayun,
Ayun sampai hujung serambi;
Bangun anak bangun,
Jangan
tidur meninggi hari.
[Bingkisan Permata, 2001:19]
Burung kenek-kenek,
Terbang dalam hutan;
Pesan datuk nenek,
Emak marah
jangan lawan.
[Bingkisan Permata, 2001:25]
Berdasarkan pantun-pantun
di atas jelaslah bahawa pantun kanak-kanak
digunakan untuk memberi nasihat
dan juga untuk mendidik kanak-kanak untuk menunjukkan sikap atau tingkah laku
yang baik untuk menjadikan mereka insan yang berakhlak mulia pada suatu masa
nanti.
3.0
BINGKIS BICARA
Bingkis Bicara merupakan
sub topik kecil yang terdapat dalam karya Bingkisan Permata. Bingkis Bicara
mengandungi perbicaraan mengenai tema-tema yang agak serius sesuai dengan
falsafah Melayu. Antara tema yang dibicarakan ialah tentang “ Adat dan Etika”,
“Budi dan Adab”, “Agama dan Pengajaran”, Peribahasa, Kiasan dan Ibarat” serta
“Perantauan dan Nasib”.
3.1
Agama dan Pengajaran
Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2010) agama
bermaksud kepercayaan pada Tuhan dan sifat-sifat serta kekuasaan Tuhan dan
penerimaan ajaran serta perintah-Nya. Konsep agama dalam pantun berdasarkan
konteks masyarakat Melayu mempunyai kaitan yang amat rapat dengan nilai dan
akhlak Melayu-Islam. Menurut Ibnu Manzur (1990:86) dalam Mohd Rashid Md Idris
(2011), akhlak merupakan gambaran dalaman manusia meliputi sifat diri mereka
sendiri yang memberi makna tersendiri sesuai dengan status mereka diciptakan
sebagai makhluk.
Akhlak memainkan peranan yang sangat penting dalam proses
pembentukan peribadi Muslim. Akhlak yang merupakan kelakuan bermoral merangkumi
nilai-nilai seperti merendah diri, benar, hormat-menghormati, adil dan saksama
dan sebagainya. Dalam masyarakat Melayu, mereka yang dianggap beretika,
bermoral dan berakhlak lazimnya akan dipandang tinggi oleh masyarakat.
Keseluruhan akhlak masyarakat Melayu yang terdidik dengan adat dan agama itu
akan membentuk konsep budi yang menjadi sanjungan masyarakat Melayu sejak
dahulu sehinggalah sekarang. Contoh pantun berkaitan dengan akhlak yang
terdapat dalam karya Bingkisan Permata
ialah:
Bawa aksin terlalu indah,
Ombak
bersusun berlari-lari;
Jika berkata yang tidak berfaedah,
Terlebih
baik mendiamkan diri.
[Bingkisan Permata, 2001: 139]
3.2
Budi dan Adab
Budi bermaksud akal atau
kebijaksanaan (Kamus Dewan Edisi Keempat,
2010: 212). Menurut Mohd Rashid Md Idris (2011), budi dapat ditakrifkan sebagai
sikap pemurah dan berbuat baik kepada orang lain. Dalam masyarakat Melayu, budi
merupakan nilai yang terpuji. Amalan balas-membalas budi amat penting kerana ia
dapat mewujudkan semangat kerjasama, tolong-menolong, dan bantu-membantu untuk
kebaikan. Dalam masyarakat Melayu, kebanyakan pantun budi merujuk kepada
kepentingan berbudi dalam masyarakat. Antara pantun yang diketengahkan dalam Bingkisan Permata ialah:
Limau manis dimakan manis,
Manis sekali rasa isinya;
Dilihat
manis dipandang manis,
Manis sekali hati budinya.
[Bingkisan Permata, 2001: 91]
Di samping itu, banyak juga pantun Melayu yang memaparkan
penghargaan masyarakat Melayu terhadap budi atau mengenang budi. Dalam
masyarakat Melayu, mereka sangat menghargai orang yang berbudi. Menjadi
kelaziman orang yang berbudi akan sentiasa dikenang, diingati, dan disebut
selalu walaupun kadang-kala individu yang berbudi itu telah meninggal dunia.
Contohnya dapat dilihat melalui pantun tersebut:
Ambil tali panjang sedepa,
Makan
manggis dengan bijinya;
Sampai mati takkan lupa,
Kerana
manis hati budinya.
[Bingkisan Permata, 2001: 97]
Perkataan
adab diambil daripada bahasa Arab “addaba” yang bermaksud mengajarkan adab
(Asmawati Suhid, 2009:13). Manakala menurut takrifan Kamus Dewan Edisi Keempat
(2007: 7), adab ialah tingkah laku serta tutur kata yang halus (sopan), budi
bahasa, budi pekerti yang halus, kesopanan atau cara seseorang berkelakuan
dalam situasi tertentu. Menurut Rosenthal (1992) adab merupakan istilah yang
lebih luas kerana ia memasukkan perkara etika, moral, kelakuan dan adat
istiadat, sebagai tambahan kepada perkara pembelajaran. Berdasarkan huraian
tersebut, adab boleh juga dikaitkan dengan kesopanan dan ketertiban.
Pantun dalam masyarakat Melayu banyak memerihalkan
perlakuan atau tingkah laku seseorang yang dinilai dari segi baik dan buruk.
Perilaku yang baik merujuk kepada perilaku yang tertib dan sopan seperti
memberi salam ketika bertemu, menghormati ibu bapa dan orang tua, membongkokkan
badan ketika lalu di depan orang tua dan banyak lagi. Kesempurnaan budi dan adab
sangat dipentingkan dalam kehidupan. Kata-kata yang lemah lembut dan beradab
adalah inti peradaban kepada bangsa. Adab dan sopan juga adalah kecantikan budi
pekerti yang terpuji yang sangat disanjung sejak dahulu hingga sekarang. Contoh
pantun yang berkait dengan adab ialah:
Apa guna asam paya,
Kalau
tidak menggulai ikan;
Apa guna lagak dan gaya,
Kalau
bahasa tidak dihiraukan.
[Bingkisan Permata, 2001: 101]
Tanah baik negerinya besar,
Banyak
orang pergi mari;
Ramah baik lagi penyabar,
Banyaklah
orang mesra di hati.
[Bingkisan Permata, 2001: 175]
3.3
Adat dan Etika
Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2010), adat
didefinisikan sebagai peraturan yang sudah diamalkan sejak dahulu kala dalam
suatu masyarakat sehingga menjadi hukuman atau peraturan yang harus dipatuhi.
Menurut Hashim Haji Musa (2002), etika ditakrifkan sebagai kod dan peraturan
yang mengatur cara hidup dan tindak tanduk sesebuah masyarakat atau organisasi.
Adat sangat sinonim dalam masyarakat Melayu kerana ia sering diaplikasikan dalam
aktiviti seharian. Dalam masyarakat Melayu, adat dihormati, dijunjung, dan
disanjung tinggi. Pelanggaran adat Melayu dianggap sebagai perbuatan sumbang
dan dicemuh oleh anggota masyarakat (Mohd Rashid Md Idris, 2011: 218). Dalam Bingkisan Permata jelas terakam nilai
ini, misalnya:
Menanam kelapa di Pulau Bukum,
Tinggi
sedepa sudah berbuah;
Adat bermula dengan hukum,
Hukum
bersandar di kitab Allah.
[Bingkisan Permata, 2001: 89]
Berbuah lebat pohon mempelam,
Rasanya
manis dimakan sedap;
Bersebarlah adat seluruh alam,
Adat
pusaka berpedoman kitab.
[Bingkisan Permata, 2001: 80]
Walaupun budaya menekankan kepentingan memelihara adat,
namun tidak semestinya masyarakat Melayu perlu bersikap menuruti tanpa
memikirkan baik buruknya. Malah, undang-undang adat yang lapuk dan tidak
relevan lagi wajar diperbaharui demi kepentingan masyarakat Melayu seluruhnya
(Mohd Rashid Md Idris, 2011: 218). Jelaslah bahawa adat Melayu boleh dijadikan
panduan yang boleh dipatuhi namun adat ini perlulah disesuaikan mengikut
situasi sosial ataupun relevan dengan zaman. Antara pantun adat istiadat yang
terdapat dalam karya Bingkisan Permata ialah:
Orang Padang mencuci benang,
Dilipat
maka dipertiga;
Kalau direntang hanya panjang,
Elok
singkatkan sekadar berguna.
[Bingkisan Permata, 2001: 91]
Selain itu juga, pantun kategori ini
lazimnya dijadikan perantaraan dalam majlis-majlis adat istiadat orang Melayu,
misalnya majlis merisik, pertunangan, perkahwinan (akad nikah) atau dalam
pembukaan sesuatu upacara tertentu. Contohnya dapat dilihat melalui pantun
tersebut:
Masuk gelunggung berpelita,
Anak
terkukur di tebing tinggi;
Alangkah baik untung kita,
Sirih
berlipat datang sendiri.
[Bingkisan Permata, 2001: 89]
3.4
Perantauan dan Nasib
Masyarakat Melayu sering dikaitkan
dengan kegiatan merantau dan berdagang. Buktinya, pada hari ini kita dapat
melihat masyarakat Melayu bertebaran sehingga ke pelosok dunia. Kegiatan
merantau dan berdagang mempunyai pelbagai tujuan, antaranya ialah untuk
mengembara, berdagang (berniaga), membawa diri kerana kecewa, berkhidmat kepada
raja, mencari rezeki, perkahwinan, menyebarkan agama dan sebagainya (Mohd
Rashid Md Idris, 2011: 219). Contoh pantun yang terdapat dalam karya Bingkisan Permata ialah:
Masak nasi dibuat bubur,
Bubur
dicampur dengan gula;
Hati duka patut dihibur,
Supaya
jangan menjadi gila.
[Bingkisan Permata, 2001: 259]
Bengis sungguh orang pangkalan,
Lalu-lalang
perahu dilarang;
Menangis dagang sepanjang jalan,
Mengenang
nasib di negeri orang.
[Bingkisan Permata, 2001: 244]
Biasanya dalam masyarakat Melayu, nilai ini merupakan
satu ungkapan untuk memberi peringatan kepada individu supaya pandai membawa
diri, baik hati, suka menolong dan menabur jasa dan tidak sombong supaya mereka
dikasihi semasa hidup serta diingati setelah meninggal dunia. Contoh nilai ini
dapat dilihat dalam pantun-pantun berikut:
Pisang kelat digonggong helang,
Jatuh
ke lubuk Inderagiri;
Jikalau berdagang di rantau orang,
Baik-baik
membawa diri.
[Bingkisan Permata, 2001: 263]
4.0
BINGKIS KASIH
Bingkis Kasih merupakan sub-topik ketiga
yang terdapat dalam karya Bingkisan
Permata yang membicarakan mengenai percintaan dalam tahap-tahap yang umum
yang terjalin sesama manusia, iaitu antara golongan muda-mudi ataupun pasangan
suami isteri. Bahagian ini membicarakan mengenai cinta dan kasih sayang yang
dapat diklasifikasikan kepada berkenalan dan usik-mengusik, berkasih, bersetia
dan kepuasan berkasih, cemburu dan bercerai, serta kegagalan dan penyesalan
yang selari dengan Melayu. Terdapat tiga tema di dalam bab ini, iaitu ‘Cinta
yang Bersemi’, ‘Hasrat Tercapai’ dan ‘Kasih Terhalang’. Pantun kasih sayang ini melibatkan percintaan dua orang kekasih
yang bermula daripada titik perkenalan sehinggalah membawa perpisahan dan semua
ini berkait rapat dengan soal hati dan perasaan serta fitrah seorang manusia
yang ingin disayangi dan menyayangi orang lain.
4.1
Cinta Bersemi
Bercinta merupakan saat
paling manis dalam pengalaman hidup seseorang. Melalui perkenalan seperti
inilah timbulnya bibit-bibit kemesraan untuk memahami isi hati masing-masing.
Ketika itu, janji setia dilafazkan sebagai bukti cinta abadi, usik mengusik dan
senda gurau ditimbulkan untuk mencari kesesuaian dan kesefahaman antara mereka
hingga kadang kala ada yang merajuk dan minta dipujuk. Luahan perasaan sebegini
disampaikan oleh pasangan kekasih itu melalui pelbagai cara.
Dalam konteks falsafah, cinta merupakan sifat baik yang
mewarisi semua kebaikan, perasaan belas kasih dan kasih sayang. Pantun ini
berkisar mengenai sikap masyarakat yang suka mengusik (bergurau), terutamanya
golongan lelaki yang suka mengusik wanita. Selain itu, bahagian ini turut
menceritakan mengenai saat awal perkenalan di antara pasangan kekasih dan juga
janji-janji yang dibina ketika sedang bercinta, termasuklah sanggup bersumpah
setia. Pantun ini juga berkisar mengenai hal-hal perasaan dan hati naluri
manusia seperti rayuan, kerinduan, kasih sayang dan sebagainya, contohnya
seperti pantun di bawah:
Dipanah oleh Indera Sakti,
Burung
Dewata di pohon keranji;
kerana sama menaruh hati,
di
ekor mata kita berjanji.
[Bingkisan Permata, 2001:310]
Pantun di atas membawa maksud pasangan kekasih yang
saling menyayangi, telah berjanji untuk setia, dan mungkin untuk sehidup
semati. Dalam percintaan juga, manusia sanggup bersumpah demi membuktikan cinta
mereka terhadap pasangan masing-masing, sehinggakan ada yang sanggup bersumpah
menggunakan kalam Allah S.W.T. Contohnya seperti pantun di bawah:
Tun Teja Ratna
Benggala,
pandai membelah lada sulah;
jikakau tuan belum
percaya,
mari bersumpah kalam Allah.
[Bingkisan
Permata, 2001:373]
Pantun tersebut
menggambarkan bahawa ada yang sanggup bermain-main dengan kalam Allah seperti
bersumpah, menjunjung dan mempersendakan al-Quran. Apalagi bersumpah soal
setia, ada orang yang sanggup berkorban segala-galanya demi mempertahankan
hubungan cintanya (seolah-olah sanggup membelah dada untuk membuktikan
kesetiaannya) dan menghadapi sebarang rintangan yang melanda untuk beroleh
kepercayaan kekasih hatinya. Contohnya:
Pergi ke pasar membeli bawal,
beli
mangga di Kampung Bali;
ibarat adinda barang dijual,
sebut
harganya boleh kubeli.
[Bingkisan Permata, 2001:351]
Pantun di atas menggambarkan apabila
sedang bercinta, semuanya akan kelihatan indah, manis dan menarik di mata
masing-masing. Segala kekurangan yang ada pada setiap pasangan seolah-olah
terlindung oleh rasa sayang dan segala rintangan yang datang dapat diatasi
dengan sebaik-baiknya. Rangkap pantun ‘ibarat adinda barang dijual, sebut
harganya boleh kubeli’ menunjukkan sang arjuna sanggup melakukan apa sahaja
untuk mendapatkan kekasih hatinya walaupun sukar.
4.2 Hasrat Tercapai
Pantun hasrat tercapai
menggambarkan riak kegembiraan dalam hidup berkasih sayang dan tercapainya
cita-cita dan harapan para kekasih, misalnya untuk sehidup semati dalam ikatan
perkahwinan yang diredhai Allah. Semua orang berhasrat untuk sehidup semati
dengan orang yang dicintainya dan kegembiraan akan terukir di wajah apabila
segala impian dan harapan menjadi kenyataan.
Laksamana
berempat di atas pentas,
cukup berlima dengan gurunya;
bagai
dakwat dengan kertas,
sudah berjumpa dengan jodohnya.
[Bingkisan Permata, 2001:415]
Pantun di atas menggambarkan seseorang
yang telah bertemu dengan jodohnya. Apabila sudah bertemu dan yakin dengan
perasaan masing-masing, pasangan tersebut pasti akan menuju kepada ikatan yang
diredhai, iaitu ikatan perkahwinan bagi mencapai hasrat untuk hidup bersama dan
bahagia. Sesungguhnya, setiap makhluk telah diciptakan secara
berpasang-pasangan, dan kita sebagai umat perlu yakin dengan urusan Allah.
4.3 Kasih Terhalang
Sungguhpun pengalaman bercinta cukup manis dan indah,
tetapi adakalanya ianya berakhir juga dengan kegagalan. Kegagalan dalam
percintaan amat pedih dirasakan oleh mereka yang mengalaminya. Dalam sesebuah perhubungan,
tidak semuanya akan berakhir dengan kegembiraan. Hal ini (perpisahan)
disebabkan oleh beberapa halangan yang timbul seperti halangan daripada
keluarga, perubahan hati, terpaksa berpisah sementara ataupun berpisah buat
selama-lamanya. Kisah percintaan yang menceritakan mengenai harapan dan kasih
yang diingini, tetapi tidak tercapai (terputus di tengah jalan) akibat sikap
tidak setia pasangan diungkapkan
dalam pantun di bawah:
Ruak-ruak
burung di kali,
papan dirapat sampaian kain;
awak juga
membuang diri,
sebab mendapat muda yang lain.
[Bingkisan
Permata, 2001:466]
Pantun di atas berkisar mengenai
kegagalan hubungan yang dikatakan berpunca daripada perubahan hati salah
seorang daripada pasangan itu. Perubahan hati itu diungkap dengan begitu indah
sekali melalui kiasan rangkai kata sudah mendapat muda yang baru. Halangan
sementara pula seperti terpaksa berpisah untuk satu tempoh waktu tertentu, dan
ini mungkin disebabkan oleh tuntutan kerja atau tugas yang penting, contohnya
seperti pantun di bawah:
Apa khabar nasi di
daun,
nasi di dalam bagai nak basi;
apa khabar tinggal
setahun,
tinggal semalam bagai nak mati.
[Bingkisan
Permata, 2001:458]
Dalam pantun di atas, perpisahan yang terjadi walaupun
seketika semenangnya amat sukar bagi insan yang sedang bercinta. Hidup
berjauhan tanpa pasangan boleh menyebabkan rindu yang berpanjangan.
5.0
BINGKIS PENUTUP
Bingkis Penutup merupakan sub-topik
terakhir dalam karya Pantun Melayu:
Bingkisan Permata. Bingkis Penutup telah dibahagikan kepada tiga bahagian,
iaitu Tanggapan dan Renungan, Salam
Perpisahan dan Harapan.
5.1
Tanggapan dan Renungan
Bahagian ini mengetengahkan
himpunan pantun berkaitan pengalaman dan etika dalam menjalani kehidupan
bermasyarakat. Kamus
Dewan Edisi Keempat (2010) menyatakan etika merujuk kepada prinsip moral
atau nilai-nilai akhlak yang menjadi pegangan seseorang individu atau sesuatu
kumpulan. Masyarakat merupakan istilah yang digunakan untuk menerangkan
komuniti manusia yang tinggal bersama-sama. Etika kehidupan bermasyarakat
diketengahkan dalam bahagian ini bagi memberikan panduan dan pengajaran kepada
khalayak pembaca agar mengamalkan nilai-nilai positif dan akhlak yang mulia dalam
apa-apa jua aspek kehidupan.
Pantun digunakan oleh
masyarakat Melayu untuk menggambarkan rasa tidak puas hati terhadap sesuatu
dengan menggunakan bahasa yang berselindung atau dengan kata lain secara tidak
berterus terang. Melalui pantun, masyarakat Melayu dapat menyembunyikan
perasaan sebenar sama ada kesal, kecewa dan dukacita terhadap sesuatu dengan
penyusunan kata-kata yang indah. Hal ini bertujuan mengelakkan berlakunya
pertelingkahan dan akhirnya mencetuskan pergaduhan antara mereka.
Ambil bertih dari hulu,
Isi mari di dalam balang;
Bersihkan halaman kita dahulu,
Baru bersihkan halaman orang.
[Bingkisan Permata, 2001: 541]
Pantun di atas
merupakan kritikan sosial terhadap orang yang suka mengkritik kesilapan orang
lain sedangkan diri sendiri melakukan kesilapan yang sama. Terdapat beberapa
peribahasa Melayu yang merujuk kepada sikap ini, misalnya ‘bagai ketam mengajar
anaknya berjalan betul’ - menyuruh orang lain membetulkan kesilapan tetapi diri
sendiri juga silap, ‘bicarakan rumput di halaman orang, di halaman sendiri
rumput sampai ke kaki tangga’ - cacat
cela orang lain nampak, cacat cela sendiri tidak kelihatan dan ‘bintang di
langit boleh dibilang, tetapi arang di mukanya tak sedar’. Falsafah
yang tersirat di sebalik pantun tersebut membawa amanat dan peringatan tentang
peri pentingnya seseorang melihat dan menilai kelemahan diri sendiri sebelum
sibuk membetulkan kesilapan orang lain.
Kecil-kecil kacang
pelisa,
Pandai melilit di pagar orang;
Tengok kecil mulutnya
bisa,
Pandai menyakit hati orang.
[Bingkisan Permata, 2001: 568]
Pantun di atas mengkritik salah satu
sikap buruk yang ada pada manusia, iaitu tidak pandai menjaga tutur kata. Za’ba
(1950, dalam Mohd Rashid Md.Idris, 2011: 197) menyatakan bahawa masyarakat
Melayu yang dianggap beradat mestilah berbudi bahasa dan baik tutur katanya. Masyarakat
Melayu memandang tinggi terhadap budi pekerti yang mulia, sopan santun dan
sifat lemah-lembut terutamanya terhadap kaum wanita. Gadis atau wanita yang
bersikap kasar dan bermulut celopar dianggap kurang ajar dan sangat menyakitkan
hati. Bagi masyarakat Melayu, nilai budi bahasa lebih disanjung tinggi
berbanding kecantikan wajah. Seseorang yang memiliki paras yang cantik jelita
jika tidak berbudi bahasa tidaklah dipandang orang. Jelaslah budi bahasa itu
sendiri mampu menandingi kecantikan dalam erti kata memenangi hati seseorang
seperti dalam pantun di bawah:
Anak teruna menanam betik,
Buah
cempedak dalam raga;
Apalah guna berwajah cantik,
Kalau
kurang budi bahasa.
[Bingkisan Permata, 2001: 100]
Nilai-nilai
kejiranan turut diketengahkan dalam bahagian ini. Pelbagai aspek kejiranan
telah ditonjolkan dalam pantun Melayu, antaranya ialah nilai tolong-menolong.
Ribut-ribut bawa pukat,
Melihat
gelung di Selat Jawa;
Kita hidup tanda muafakat,
Tolong-menolong
tanda sejiwa.
[Bingkisan
Permata, 2001: 578]
Pantun di atas
memberikan gambaran kehidupan masyarakat Melayu dahulu yang saling
tolong-menolong antara satu sama lain. Kegiatan ini dapat memupuk cara hidup
yang baik, bertimbang rasa dan sikap prihatin untuk melahirkan masyarakat yang
lebih makmur (Mohd Rashid Md.Idris, 2011: 215). Nilai tolong-menolong
sememangnya lazim diamalkan oleh masyarakat Melayu tradisi, contohnya dalam
kenduri perkahwinan. Mereka bergotong-royong membuat persiapan dan tidak lokek
menyumbangkan wang, masa dan tenaga. Keadaan ini turut digambarkan dalam
peribahasa Melayu ‘berat sama dipikul, ringan sama dijinjing’ dan ‘bagai aur
dengan tebing’.
Masyarakat Melayu
juga mengutamakan nilai perpaduan. Bagi masyarakat Melayu, ‘cubit paha kanan,
paha kiri terasa sakit juga’ – turut bersama-sama merasakan kesusahan dan
penderitaan yang dihadapi oleh anggota keluarga atau masyarakat. Masyarakat
Melayu pada zaman dahulu mempunyai hubungan yang mesra dengan jiran tetangga
dan menjauhi sikap ‘bagai enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing’. Nilai
perpaduan terungkap dalam pantun berikut:
Kalau
ke bukit sama mendaki,
Kalau ke laut sama berenang;
Kalau
kita bersatu hati,
Kerja yang berat menjadi senang.
[Bingkisan Permata, 2001: 543]
Keluarga adalah satu
daripada institusi penting dalam masyarakat selain daripada ekonomi,
pendidikan, politik dan agama. Usaha mewujudkan masyarakat yang harmoni
perlulah bermula dari rumah, iaitu melalui hubungan kekeluargaan. Masyarakat
Melayu tradisi mempunyai hubungan kekeluargaan yang baik dan erat. Pada masa
dahulu, kebanyakan keluarga tinggal berdekatan dengan sanak saudara. Oleh itu,
jalinan hubungan kekeluargaan sangat erat.
Dapat
seekor ikan tenggalan,
Lalu ditaruh di atas peti;
Saudara-mara
dapat berkenalan,
Bertambah mesra kasih di hati.
[Bingkisan
Permata, 2001: 543]
Pantun juga digunakan
sebagai medium untuk berhibur. Pada zaman dahulu, masyarakat Melayu akan
berhibur dengan melafazkan pantun-pantun bersifat jenaka atau mengusik setelah
lelah bekerja dan pada waktu lapang. Pantun juga dijadikan sebagai lirik dalam
lagu-lagu Melayu lama seperti lagu Melayu asli, keroncong, dondang sayang,
zapin, ghazal, canggung, seloka dan sebagainya. Contohnya Pantun Cik Busu
Pandai Membilang Malam versi Terengganu.
Kata Cik Busu pandai
membilang malam:
Malam ini malam kese-se
Parang dewangsa
Hendak memarang gunung sebuah
Kata Cik Busu pandai berkata
Kata sepatah tiada berubah.
Kata Cik Busu pandai
membilang malam:
Malam ini malam kedua-we
Dua di kayu anak
Mari disumpit dengan sumpitan
Orang berdua berdukung anak
Macam gunung bersahutan.
[Bingkisan Permata, 2001: 586]
5.2 Salam Perpisahan
Selain berfungsi untuk mendidik dan memberikan pengajaran, pantun juga
digunakan untuk menzahirkan dan meluahkan perasaan suka, gembira dan sedih.
Bahagian ini menghimpunkan pantun perpisahan – pantun ucapan selamat tinggal,
pantun memohon kemaafan dan harapan bertemu lagi serta pantun akhir majlis.
Hari ini merendang
jagung,
Hari esok merendang serai;
Hari ini kita berkampung,
Hari esok kita bercerai.
Hari ini merendang serai,
Hari esok merendang ringgi;
Hari ini kita bercerai,
Ada umur bertemu lagi.
[Bingkisan
Permata, 2001: 606]
Pantun tersebut menggambarkan hakikat kehidupan yang sentiasa berputar
dan akan dilalui oleh manusia, iaitu perpisahan. Setiap sesuatu yang bermula
akan ada pengakhirannya. Begitu juga dengan pertemuan, pasti ada titik
perpisahannya. Hanya doa dan harapan diluahkan moga akan adanya pertemuan pada
masa akan datang.
Hinggap mari di pohon
remunia,
Jauh dari pohon meranti;
Kami mencabut sedak
rebana,
Majlis berpantun mohon berhenti.
[Bingkisan
Permata, 2001: 606]
Pantun
ini menggambarkan kesopanan yang menjadi amalan masyarakat Melayu. Pantun
digunakan untuk mengakhiri majlis dengan ungkapan meminta izin sebagai tanda
menghormati tetamu yang menghadiri majlis tersebut. Pada akhir atau penghujung sesuatu majlis, pantun digunakan bagi
melahirkan ucapan terima kasih dan penghargaan kepada mereka yang terlibat.
Permohonan maaf juga disampaikan sekiranya terdapat tutur kata atau perbuatan
yang menyinggung hati dan perasaan. Penggunaan kata-kata yang indah dalam
menyampaikan perasaan akan memberikan kesan yang mendalam kepada orang yang
menerimanya. Hal ini jelas menunjukkan bahawa masyarakat Melayu amat
mementingkan budi bahasa dalam apa jua keadaan.
Kalau ada jarum yang
patah,
Jangan disimpan di dalam peti;
Kalau ada silap dan
salah,
Jangan disimpan di dalam hati.
[Bingkisan
Permata, 2001: 607]
5.3 Harapan
Bahagian ini
menghimpunkan pantun-pantun yang menggambarkan harapan seseorang agar hak
miliknya dikembalikan dalam keadaan yang baik dan sempurna. Dalam konteks Bingkisan Permata, pantun ini diletakkan
pada bahagian pengakhiran berkemungkinan bagi menyampaikan harapan pengkaji
agar khazanah pantun Melayu dipelihara dengan baik dan tidak dirosakkan nilai
keindahannya.
Bunga anggerik di atas pagar,
Pagar
bersasak dengan pintunya;
Jangan tercabik jangan terbakar,
Jangan
rosak barang suatunya.
[Bingkisan Permata, 2001: 609]
6.0 KESIMPULAN
Pantun adalah karya
agung Melayu yang mencerminkan nilai-nilai hidup dan sosial masyarakat Melayu.
Keagungan itu bukan sahaja dalam falsafah, pegangan, tema dan maksud yang
disampaikan, tetapi juga dalam rangkap kata-kata yang menjadi wadah nilai dan
tanggapan itu. Kata-kata yang terdapat dalam pantun adalah padat, bernas, tepat
dan berkesan. Pantun bersifat fungsional, iaitu bukan sahaja bertujuan untuk
mendidik dan membimbing tetapi juga untuk menghiburkan khalayak yang
mendengarnya.
Pantun adalah alat komunikasi yang
sangat istimewa kerana bahasanya yang tepat dan mempunyai mesej untuk mendidik
masyarakat. Setiap rangkap pantun sudah diukur terlebih dahulu dan kemudian
baru digunakan. Keistimewaan bahasa dalam pantun menunjukkan kebijaksanaan
orang Melayu dalam mendidik masyarakat supaya beradat dan beradab (Mohd Rosli
Saludin, 2005). Banyak nilai baik dalam pantun yang boleh kita amalkan dalam
kehidupan kerana boleh mewujudkan perpaduan orang Melayu, Islam dan rakyat di
negara kita.