KONTEKS
Sejarah
Melayu lebih menceritakan mengenai salasilah diraja dan pemerintahan Melaka
pada ketika itu sehingga kepada kejatuhan Melaka.Sejarah Melayu secara kasarnya
terbahagi kepada dua bahagian.Bahagian pertama bersifat mitos yang mengandungi
dongeng-dongeng, dewa-dewa keinderaan dan sebagainya yang menceritakan sejarah
dahulu kala, khususnya asal usul bangsa serta raja-rajanya. Manakala, dalam hikayat
Hang Tuah pula menceritakan mengenai kisah hidup Hang Tuah.Hikayat Hang Tuah
mengemukakan pengalaman-pengalaman hidup yang disuburkan dengan idealism yang
tebal melalui penggunaan unsur-unsur mitos, rekaan dan dengan membesar-besarkan
peristiwa yang melibatkan Hang Tuah.
MOTIF
Setiap
sastera sejarah yang dibuat sudah pasti mempunyai motif yang tertentu. Misalnya,
dalam Sejarah Melayu, ada motif yang merupakan citra pemerian raja-raja Melaka
dari (keturunan Iskandar Zulkarnain). Sejarah Melayu juga dibuat
bagi mengingatkan generasi lain tahu akan salasilah diraja pada zaman dahulu
agar tidak ditelan zaman. Manakala, hikayat Hang Tuah pula dikarang kerana
mengagung-agungkan mengenai kepahlawanan Hang Tuah sebagai pewira Melayu pada
zaman dahulu, yang banyak berbakti taat
setia kepada pemerintahnya.Hang Tuah dianggap lambang dalam Hikayat Hang Tuah
berasasan kegiatannya menjulang kebaktian terhadap bangsa Melayu yang meliputi
zaman berzaman itu. “Dalam watak Hang Tuah terlukis chita2 bangsa Melayu,
tentang kepewiraan bangsa itu”.
ASAL
USUL HANG TUAH
Perbezaan
amat ketara sekali dilihat apabila dalam Sejarah Melayu menceritakan bahawa
Hang Tuah adalah anak kepada seorang raja Bajung.Maka didengarnya ada anak raja
Bajung yang terlalu baik rupanya dan sikapnya, bapanya sudah mati. Fakta asal usul Hang Tuah
ini sememangnya amat berbeza sekali dengan asal usul Hang Tuah dalam Hikayat
Hang Tuah. Hal ini demikian kerana, Hang Tuah dalam Hikayat Hang Tuah berasal
daripada seorang rakyat biasa yang melakukan kerja kampung dan berkedai sahaja
untuk menyara keluarganya.Hang Tuah adalah anak kepada Hang Mahmud dengan
isterinya Dang Merdu. Hang Tuah anak
Hang Mahmud di Sungai Duyung dan segala orang duduk di Sungai Duyung mendengar
warta demikian itu: apabila Hang Mahmud mendengar khabar itu, maka kata Hang
Mahmud pada bininya bernama Dang Merdu.
NAMA
HANG TUAH
Perbezaan
terhadap nama Hang Tuah berlaku apabila, Hang Tuah dikenali sebagai Daeng
Mempawah iaitu anak raja Bajung. Adapun anak raja Bajung itu Daeng Mempawah
namanya. Penamaan Hang Tuah ini
dikatakan dinamai oleh baginda Sultan.
“Maka semuanya perihal ehwalnya habis dipersembahkannya
ke bawah duli Sultan Mansur Syah.Maka baginda pun suka, serta Seri Bija Pikarma
dipuji baginda.Maka Daeng Mempawah itu dinamai baginda Hang Tuah, itulah asal
Hang Tuah;…”
Manakala, dalam
hikayat Hang Tuah tidak pula menceritakan asal nama Hang Tuah yang digunakan
sepanjang dalam penceritaan hikayat tersebut.
SAHABAT
HANG TUAH
Perbezaan
bilangan sahabat karib Hang Tuah dalam Sejarah Melayu
sememangnya
amat mengelirukan. Sejarah Melayu mencatatkan bahawa, Hang Tuah mempunyai lapan
orang sahabat.
“…
sudah pilihan delapan orang, iaitu Hang
Jebat, dan Hang Kasturi, Hang Lekir, dan Hang Lekiu, dan Hang Ali dan Hang
Iskandar, dan Hang Hassan, dan Hang Hussin:…”.
Hikayat Hang Tuah karya Kassim Ahmad
pula mencatatkan bahawa Hang Tuah mempunyai empat orang sahabat. Buktinya,
“Maka ia pun bersahabat sama-sama budak-budak sama besar,
seorang namanya Hang Jebat dan seorang namanya Hang Kasturi dan seorang namanya
Hang Lekir dan seorang namanya Hang Lekiu.”
HANG
TUAH BERGURU
Pertentangan telah berlaku antara
Sejarah Melayu dengan Hikayat Hang Tuah, dikatakan dalam Hikayat Hang Tuah,
Hang Tuah ini telah berguru sebanyak dua kali untuk mendapatkan kesatikan iaitu
dengan Syeikh Mansur dan juga dengan Aria Putera di bukit Pancalusa, Manakala
dalam Sejarah Melayu tidak dinyatakan mengenai Hang Tuah pergi berguru.Hikayat
Hang Tuah;
“Alkisah
maka tersebutlah perkataan Hang Tuah pergi berguru di Bukit Pancalusa kepada
Aria Putera.
“…pada dusun itu ada
seorang Syeikh Mansur namanya, tempat segala orang hulu Melaka berguru…”
“Setelah sudah makan
maka laksamana pun duduklah pada Syeikh itu berguru”
PEMBUKAAN MELAKA
Sejarah Melayu menceritakan mengenai
pembukaan Melaka apabila semasa Raja berehat dibawah sepohon pokok selepas
berburu, sedang berehat baginda melihat anjing buruannya dihambat pelanduk,
melihat kejadian tersebut baginda lalu menamakan kawasan itu sebagai Melaka
semperna nama sepohon pokok Melaka tempat baginda berehat.
“…baginda pun datanglah ke sana,berhenti di bawah
sepohon kayu, terlalu rampak, maka baginda menyuruh berburu; sekoyong-koyong
terjun anjing dihambat pelanduk.Titah baginda “ Baik tempat ini diperbuat
negeri, anjing alah oleh pelanduk … Maka titah baginda, “ Apa nama kayu itu? “
Maka sembah orang, “kayu Melaka namanya, tuanku,” Maka titah Raja Iskandar
Syah, “ Jika demikian, Melakalah nama negeri ini.”
Sebaliknya dalam Hikayat Hang Tuah
ada menceritakan mengenai pembukaan negeri Melaka, apabila semasa berburu
anjing perburuan baginda telah digigit oleh pelanduk putih yang besar seperti
kambing, dan anjing itu terjung ke dalam sungai. Di sebabkan terlalu terkejut
melihat keajaiban dua ekor anjing baginda dikalahkan oleh pelanduk putih, maka
baginda berasa sangat teruja untuk membuka negeri di tempat tersebut di atas
nasihat bendahara. Penamaan negeri Melaka juga berasal daripada
nama sepohon pokok Melaka yang berada ditengah-tengah pulau itu.
“Maka pada tempat itulah patik perbuatkan istana”.
Setelah baginda mendengar sembah bendahara dan Tuan Tuah itu maka titah
baginda, “ Jika demikian, baiklah negeri itu kita namakan negeri Melaka”.
PERISTIWA
HANG TUAH HENDAK DIHUKUM BUNUH
Peristiwa Hang Tuah yang dikatakan
hendak dihukum bunuh oleh Raja Melaka amat berbeza faktanya dalam penulisan
hikayat Hang Tuah dan Sejarah Melayu.Hal ini demikian kerana, dalam Sejarah
Melayu mencatatkan bahawa Sultan Mansur
Syah mengarahkan bendahara Seri Nara Diraja untuk membunuh Hang Tuah,kerana
telah melakukan maksiat dengan dayang-dayang diraja.Walaubagaimanapun, Seri
Nara Diraja berasa kasihan akan Hang Tuah dan amat menghargainya lalu Seri Nara
Diraja membawa Hang Tuah pulang ke rumahnya dan memasungkan Hang Tuah di dusunnya.
Buktinya seperti ini;
“ Maka oleh Seri Nara Diraja dibawanya pulang ke
rumahnya ; fikir dalam hatinya, “Adapun Hang Tuah ini, bukan barang-barang
orang; tiadalah dua orang, orang yang di dalam negeri Melaka ini sebagainya pada
zaman ini. Jikalau ia mati di mana duli Yang Dipertuan beroleh hamba seperti
Hang Tuah ini?...
“…pasunglah sahaya supaya jangan berjalan.” Maka oleh
Seri Nara Diraja disuruhnya bawa Hang Tuah kepada suatu dusunnya di hulu, di
sana dipasungnya.
Berbeza pula fakta yang dinyatakan
dalam Hikayat Hang Tuah mengenai peristiwa hendak membunuh Hang Tuah ini.
Diceritakan bahawa bendahara dititahkan oleh baginda untuk membuang Hang Tuah
dan mati hidup semuanya berserah kepada bendahara untuk melakukannya.Namun
bendahara tidak membuang dan membunuh Hang Tuah kerana dia tahu bahawa Hang
Tuah tidak berdosa dan hanya difitnah oleh pegawai lain.Bendahara menitahkan
orangnya untuk menghantar Hang Tuah ke dusunnya iaitu di Hulu Melaka. Semasa di
dusun bendahara Hang Tuah telah bertemu dengan seorang Syeih lalu di berguru
dengan Syeih tersebut.Kenyataannya seperti ini;
“Di
suruh oleh bendahara pada orangnya empat orang hantarkan laksamana ke Hulu
Melaka…Maka pada dusun itu ada seorang Syeikh Mansur namanya, tempat segala
orang hulu Melaka itu berguru…”
Perbezaan antara dua kenyataan ini
amat ketara sekali kerana situasi adalah berbeza, pada Sejarah Melayu
menyatakan bahawa Hang Tuah hidup dalam pasungan, tetapi dalam Hikayat Hang
Tuah, Hang Tuah dikatakan dilepaskan di dusun bendahara dan berguru dengan
Syeikh Mansur.
SITUASI
KEMATIAN HANG JEBAT
Di sini akan dilihat bahawa terdapat
perbezaan situasi mengenai cara Hang Jebat meninggal. Situasai yang berlainan
antara yang dicatat dalam Sejarah Melayu dan Hikayat Hang Tuah yang mungkin
mengelirukan pembaca.Catatan dalam Sejarah Melayu menyatakan bahawa Hang Jebat
telah mati ditikam oleh Hang Tuah semasa petarungan mereka di istana.Buktinya,
“Maka
segera ditikam oleh Hang Tuah dari belakangnya terus ke hulu hati. Maka kata
Hang Jebat, “ Hei Tuah! Demikiankah lelaki menikam mencuri dan mengubah
waadnya? Engkau dua tiga kali lekat kerismu, aku suruh tanggalkan juga; aku
sekali lekat kerisku, engkau tikam,”
Maka sahut Hang Tuah “Siapa bersetia dengan engkau orang derhaka.” Maka ditikam
pula seliang lagi, maka Hang Jebat pun matilah.
Berbeza pula dengan situasi dalam
Hikayat Hang Tuah, apabila Hang Jebat mati di dalam pangkuan Hang Tuah setelah
beberapa kali berlakunya pertelingkahan antara dua sahabat ini.Hang Jebat juga
tidak terus mati semasa ditikam oleh Hang Tuah , tetapi cedera sahaja, dan Hang
Jebat juga telah melakukan amukan di
pasar Melaka menyebabkan ramai yang mati.Hang Jebat dikatakan mati dalam
pangkuan Hang Tuah.
“…Setelah sudah makan sirih itu, maka Hang Jebat pun
minta huraikan barut lukanya itu. Laksamana pun tahulah akan si Jebat hendak
mati itu; maka segera dihurainya barut luka Hang Jebat itu.Demikian barut itu
terhurai, maka darah pun menyembur-nyembur ke mukanya dan keluar darahnya di
hidungnya dan mulutnya dan matanya dan telinganya dan dari segenap romanya pun
keluar darah bergumpal-gumpal. Maka Hang Jebat pun rebah pada ribanya laksamana
lalu mati.”
PEMBUANGAN
BANGKAI HANG JEBAT
Di sini juga dapat dilihat perbezaan
fakta apabila mayat Hang Jebat dalam Sejarah Melayu dikatakan dibuang ke dalam
laut , manakala dalam Hikayat Hang Tuah mencatatkan bahawa mayat Hang Tuah
digantung di tengah pasar untuk tontonan rakyat. Buktinya;
“Maka bangkai Hang Jebat pun ditarik oranglah,
dibuangkan ke laut, amaka segala anak bininya semuanya habis diumbut, datang
kepada kaki tiang dan tanah bekas rumah pun habis digali dibuangkan ke laut.”
“…maka
bangkai Hang Jebat pun disuruh oleh laksaman tarik ke pintu gerbang pada tengah
jalan raya besar dipasarkan supaya dilihat orang banyak pergi datang. Setelah
genap tujuh hari, maka bangkai Hang Jebat pun digantung orang pula di tengah
jalan raya.”
PERBEZAAN
NAMA RADEN GALUH CENDERA KIRANA DENGAN RADEN GALUH EMAS AYU
Penggunaan nama bagi anak bentara
Majapahit dalam kedua-kedua karya ini berbeza sama sekali. Sejarah Melayu
mengelarkan anak bentara Majapahit kepada Raden Galuh Cendera Kirana manakala
dalam Hikayat Hang Tuah pula mencatatkan nama anak betara Majapahit kepada
Raden Emas Ayu.
“…peri
raja Melaka pergi ke Majapahit
beristerikan Raden Galuh Emas Ayu itu.”
Manakala dalam Sejarah Melayu
mencatatkan;
“maka Betara Majapahit berhadirlah akan mengerjakan
Sultan Mansur Syah dengan anakanda baginda Raden Galuh Cendera Kirana.
NAMA PUTERA SULTAN MANSUR SYAH DENGAN
ISTERINYA ANAK BENTARA
MAJAPAHIT
Perkahwinan antara Sultan Mansur Syah
dengan isterinya Raden Emas Ayu atau Raden Galuh Cendera Kirana telah
melahirkan seorang putera yang diberi nama Raden Bahar dalam Hikayat Hang Tuah
dan Raden Kelang dalam Sejarah Melayu.Contohnya;
“Maka
Raden Galuh pun berputeralah seorang laki-laki, terlalu amat elok rupanya.
Baginda pun terlalu sukacita. Maka anak baginda itu dinamai Raden Bahar.”
Sejarah Melayu ;
“Alkisah maka
tersebutlah perkataan Raden Kelang, anak Sultan Mansur Syah dengan Raden Galuh
Cendera Kirana…”
KISAH SULTAN MANSUR SYAH MANGKAT ATAU GHAIB
Peristiwa mengenai Sultan Mansur Syah
sama ada baginda yang sebenarnya mangkat atau ghaib sukar untuk
dikenalpasti.Hal ini demikian kerana, dalam Sejarah Melayu mencatatkan bahawa
Raja Melaka iaitu Sultan Mansur Syah telah mangkat. Di kisahkan seperti ini;
“Hatta berapa lamanya, datanglah peredaran dunia ; maka
Sultan Mansur Syah pun geringlah. Setelah diketahu baginda dirinya akan
mangkat, maka baginda pun menyuruh memanggil anakanda baginda, Raja Ahmad…
“Hatta selang
beberapa hari, maka Sultan Mansur Syah pun mangkatlah
;…”
Namun, dalam hikayat Hang Tuah
menyatakan bahawa, raja Melaka telah ghaib setelah baginda pengsan setelah
timun yang dibawanya merupakan tengkorak orang.Selama dalam pengsan raja Melaka
telah bermimpi Allah Taala setelah sedar baginda berjalan mengikut Allah Taala
dengan penuh keinsafan dan tidak tahu ke mana tujuannya dia berjalan mengikut
Allah Taala.Baginda pun ghaib dalam berjalan dan tiada khabar mengenainya.
“.timun sekerat itu
pun menjadi tengkorak orang….Maka raja pun bermimpi dalam pengsan itu suatu
suara kedengaraan pada raja…Maka raja pun jagalah daripada pengsan itu lalu
berjalan pula, tiadalah berhenti lagi, sikut-ikut diberi Allah Taala kakinya
berjalan itu dengan sangat ia insaf akan dirinya ; makin bertambah-tambah
syukur ia kepada Allah Taala. Maka tiadalah lagi tersebut perkataan raja Melaka
berjalan itu, tiadalah ketahuan perginya, sekoyong-koyong ghaib dalam berjalan
itulah, tiada kedengaran wartanya.”
SIAPA
SULTAN MAHMUD SYAH SEBENAR ?
Di khabarkan bahawa dalam Sejarah
Melayu dinyatakan, Sultan Mahmud Syah merupakan anak kepada Sultan Alau’ d-Din yang merupakan Raja Melaka
selepas pemerintahan Sultan Mansur Syah.Baginda Sultan Mahmud Syah telah
memegang takhta sebagai Raja Melaka setelah kemangkatan ayahandanya. Kemudian
Sultan Mahmud Syah ini telah berisiterikan anak Sultan Muhammad Syah, raja Pahang
; beranak tiga orang, yang tua lelaki bernama Raja Ahmad, yang dua lagi itu perempuan. Di sini agak mengelirukan
faktanya kerana,dalam Hikayat Hang Tuah menyatakan bahawa Sultan Mahmud ini
adalah anak kepada Tun Teja bersama dengan tuanku Syah Alam dan anak bongsu Tun
Teja pula diberi nama Sultan Muhammad Syah.
“ Setelah genap
bulannya maka Tun Teja pun berputera pula seorang laki-laki, terlalu elok
rupanya, hampir-hampir ayahada baginda.Maka oleh baginda dinamai anakanda
baginda ketia-tiga itu.Adapun perempuan dinamai Puteri Gunung Ledang, laki-laki
yang tengah dinamai Sultan Mahmud, yang bongsu dinamai Sultan Muhammad”.
LAKSAMANA
HANG TUAH MANGKAT
Sejarah Melayu menyatakan bahawa
Laksamana Hang Tuah telah mangkat dan segala pekerjaannya sebagai Laksamana
baginda Raja Melaka telah di ambil alih oleh mertuanya. Namun, di dalam Hikayat
Hang Tuah menyatakan bahawa Hang Tuah pergi menghilangkan diri setelah Melaka
jatuh ke dalam tangan Feringgi, Hang Tuah dikatakan masih hiduo dan dijumpai di
Hulu Perak dan mati hidupnya tidak diketahuan oleh mana-mana orang pun. Contoh
keratan teks ;
Sejarah Melayu;
“Hatta
maka Laksamana Hang Tuah pun kembalilah ke rahmat-Allah Taala, maka oleh Sultan
Mahmud ditanamkan di Tanjung Keling, dengan sepenuh-penuh adat dianugerahkan ;
tiga hari baginda tiada nobat.”
Hikayat Hang Tuah;
“ Maka
Tun Tuah pun tiada tersebut lagi, di dalam negeri itulah.Tetapinya, kata orang, si Tuah tiada mati , kerana Si Tuah
itu ia hulubalang segala laki-laki dan aulia pada segala laki-lakiu.Maka
sekarang sekali khabarnya Tun Tuah ada di pucuk hulu Sungai Perak, ia duduk
menjadi raja segala biduandanya orang hutan.”
SIAPA
HANG NADIM?
Kekeliruan berlaku pada kewujudan
watak Hang Nadim dalam Sejarah Melayu dan juga Hikayat Hang Tuah. Sejarah
Melayu menceritakan bahawa Hang Nadim ini adalah menantu kepada Laksamana Hang
Tuah.Buktinya ;
“Adapun
Hang Nadim itu sedia asal ternak Melaka, dan keluarga yang hampir juga kepada
Bendahara Seri Maharaja, menantu kepada Laksaman Hang Tuah.
Hikayat Hang Tuah pula menyatakan
bahawa anak Hang Tuah bernama Hang Nadim.
“Hendak
kita gelar laksamana itu ada Hang Nadim itu kita hendak gelar laksamana, kerana
Hang Nadim itu diangkat anak oleh bendahara.”
“Maka disuruh oleh bendahara panggil ; maka Tun Nadim
pun berlari-lari datang menghadap raja. Maka Tun Nadim pun duduk di bawah
bendahara seraya menyembah. Maka kata raja, “Hai bendahara, inikah anak
Laksamana ?” Maka sembah bendahara, “Daulat tuanku”…
LATAR
BELAKANG TUN TEJA
Sejarah Melayu menceritakan bahawa, asal Tun Teja ini
adalah daripada anak kepada seorang Bendahara Pahang yang bernama Seri Amar
Bangsa Diraja.Nama Tun Teja sebenar ialah Tun Teja Ratna Menggala.
“Adapun akan
Bendahara Pahang pada masa itu, Seri Amar Bangsa Diraja gelarnya ; dia ada
beranak seorang perempuan, Tun Teja Ratna Menggala namanya…”
Lain pula asal Tun Teja yang
diceritakan dalam Hikayat Hang Tuah kerana, dikatakan bahawa Tun Teja
ini,merupakan anak kepada seorang bendahar di negeri Inderapura.
“…anak Bendahara
Seri Buana di Inderapura itu terlalu sekali baik rupanya, Tun Teja namanya…”
Dapat dilihat bahawa, tiada ketahuan
sebenar akan asal sebenar Tun Teja.
SITUASI
TUN TEJA DALAM PERSETUJUAN UNTUK BERNIKAH
Dalam Sejarah Melayu menceritakan
bahawa, Tun Teja dengan mudahnya hendak bernikah dengan Sultan Abdul Jamal iatu
anak kepada Sultan Muhammad raja Pahang yang pertama.Di ceritakan seperti ini ;
“Maka hendak dibuat
isteri oleh Sultan Abdul Jamal akan Tun Teja itu; maka Bendahara Pahang pun
kabullah, sekadar lagi bertangguh musim datang akan bekerja.
Berlainan pula terhadap situasi yang
berlaku dalam Hikayat Hang Tuah kerana, Tun Teja ini amat diberahikan oleh raja
Melaka dan rombongan telah dihantar untuk meminang Tun Teja namun, rombongan
itu telah ditolah oleh Tun Teja dan menyebabkan Raja Melaka sangat marah.
“Maka bendahara pun
bertanya anaknya, “Hai anakku, buah hati aku ; akan sekarang raja Melaka
menitahkan Tun Bija Sura dan Tun Utama datang meminag anakku? Adapun kulihat
anakku pun besarlah ; patutlah akan berumah bersuami. Pada bicara aku, baiklah
anakku bersuami akan Yang Dipertuan Melaka itu, kerana baginda raja
besar,…Setelah sudah Tun Teja mendengar kata ayahnya demikian itu, maka Tun
Teja pun berpalis dan masam mukanya,… “Yang enggang sama enggang, yang pipit
itu sama pipit juga! Adakah anak raja bukit Siguntang beristerikan anak
Bendahara Seri Buana ini. Tiada adatnya demikian.
TUN
TEJA TUNANGAN SIAPA?
Ada yang menyatakan bahawa Tun Teja
ini merupakan tunang kepada Sultan Pahang iaitu Sultan Abdul Jamal. Namun ada
juga yang menyatakan bahawa Tun Teja ini merupakan tunang kepada Megat
Terengganu yang bernama Megat Panji Alam seperti tercatat dalam Hikayat Hang
Tuah
Sejarah Melayu ;
“Maka Seri Wak Raja
pun berkhabarkan peri baik parasnya Tun Teja, anak Bendahara Pahang, tiadalah
ada samanya seorang jua pun pada zaman ini ; tetapi sudah bertunangan dengan
Sultan Pahang, hampirlah akan duduk.
Hikayat Hang Tuah ;
“Maka
sedang Raja Melaka lagi Tun Teja tiada mahu, istimewa hambanya pula ia mahu.
Seperkara pula, ia sudah bertunangkan Megat Terengganu yang bernama Megat Panji
Alam itu…”
MELARIKAN
TUN TEJA
Sejarah Melayu menceritakan bahawa
Tun Teja telah dibawa lari oleh Hang Nadim yang merupakan menantu kepada Hang
Tuah. Hang Nadim telah menggunakan pelbagai cara untuk medapatkan Tun Teja demi
Raja Melaka. Hang Nadim telah bersahabat dengan Nakhoda yang bernama Saiyid
Ahmad agar memudahkan dia utuk melarikan Tun Teja. Begitu juga denga seorang
perempuan tua pelulut yang bersubahat dengan Hang Tuah untuk mendapatkan Tun
Teja dan membujuk hatinya untuk mengikut Hang Nadim ke Melaka. Hang Nadim berjaya
mendapatkan Tun Teja untuk Sultan Mahmud Syah dan baginda berasa sangat gembira
lalu memuji-muji akan tindakan yang dilakukan oleh Hang Nadim kepadanya.
Sebaliknya berlaku dalam catatan
Hikayat Hang Tuah apabila Tun Teja ini telah dilarikan oleh Hang Tuah,Hang Tuah
telah ke Inderapura kerana ingin mendapatkan Tun Teja untuk Raja Melaka yang
amat berahi akannya. Hang Tuah telah berusaha
untuk menawan hati Tun Teja dan hendak membawanya lari ke Melaka, pelbagai
usaha telah dilakukan sehinggakan Hang Tuah bersepakat dengan inang Tun Teja
,namanya Dang Ratna. Hang Tuah telah berjaya
melarikan Tun Teja setelah Tun Teja telah dipujuk dengan ilmu pengasih iaitu
dengan menggunakan ‘jebat’ dengan memalitkannya di tempat duduk Tun Teja.
CARA
UNTUK MEMBUJUK HATI TUN TEJA
Hang Nadim memberikan pelulut kepada
si pelulut itu dan menggunakan pelulut untuk membujuk
hati Tun Teja. Maka Si pelulut itu pun, menyapukan lulut itu ke seluruh badan
Tun Teja Sambil membujuknya dengan kata-kata yang lemah lembut.Maka Tun Teja
pun berlembut hati dan menurut segala kata yang diutarakan oleh si pelulut itu
mengenai ;
“Jikalau tuan mau dibawanya ke Melaka, nescaya
diperisteri oleh raja Melaka, kerana baginda tiada beristeri kerajaan,
tuanlah kelak jadi raja perempuan di Melaka. Jikalau tuan
diperisteri oleh raja Pahang, bermadulah tuan dengan raja perempuan
Pahang.Jikalau tuan jadi isteri perempuan Pahang kepada tuan.”
Berlainan pula cara yang digunakan
untuk mebujuk hati Tun Teja dalam Hikayat Hang Tuah iaitu,laksamana Hang Tuah
menggunakan jebat sebagai pengasih untuk melembutkan hati Tun Teja. Jebat yang
digunakan adalah diperoleh daripada seorang tua yang berjual jebat.
ANAK
TUN TEJA
Sejarah Melayu menceritakan bahawa
Tun Teja mempunyai seorang anak perempuan yang diberi nama Puteri Adma Dewi. Namun
dalam Hikayat Hang Tuah tidak dinyatakan pun yang Tun Teja ini melahirkan
puteri, tetapi sepanjang Tun Teja berkahwin dengan Raja Melaka, Tun Teja hanya
melahirkan dua orang putera.
“setelah
genap bulannya maka Tun Teja pun berputera pula seorang laki-laki, terlalu elok
rupanya, hampir-hampir ayahanda tiga itu…, laki-laki yang tengah dinamai Sultan
Mahmud, yang bongsu dinamai Sultan Muhammad.”
ZURIAT
HANG TUAH
Hang Nadim dikatakan menantu kepada
Laksamana Hang Tuah iaitu suami kepada anak laksamana dengan ister keduanya
daripada golongan keluarga Bendahara Paduka Raja. Laksamana Hang Tuah
mempunyai ramai anak hasil daripada perkahwinannya dengan dua orang
isteri.Laksamana mempunyai lima orang anak.Buktinya:
“Adapun akan Laksaman Hang Tuah
rahimuLLah beristeri dua orang, seorang saudara Seri Bija Diraja Datuk Bongkok,
beranak tiga orang, yang tua perempuan Tun Sirah namanya, duduk dengan
Temenggung Khoja Hussain, beranakkan Tun Abdullah ; yang tengah laki, Tun
Biajid namanya ; yang bongsu perempuan, Tun Daerah namanya, diperisteri oleh
Sultan Mahmud Syah, beranak seorang perempuan, Raja Dewi namanya. Seorang lagi
isteri Laksamana Hang Tuah, keluarga Bendahara Paduka Raja, beranak dua orang,
yang tua lelaki bergelar Sang Guna; yang muda perempuan bernama Tun Emas Jiwa,
duduk dengan Hang Nadim, beranak seorang lelaki bernama Tun Mat Ali, ayah Tun
Hamzah; akan Tun Hamzah beranakkan Tun Ali, bergelar Seri Petani; sebab itulah
maka Laksamana Hang Tuah , anak cucunya Melayu disebut orang datang sekarang.
Namun, dalam Hikayat Hang Tuah
menyatakan bahawa Hang Tuah hanya mempunyai seorang anak yang bernama Hang
Nadim atau Tun Nadim.
ASAL
USUL PUTERI GUNUNG LEDANG
Puteri Gunung Ledang dikatakan anak
kepada Raden Mas Ayu iaitu isteri kepada paduka baginda Raja Melaka seperti
yang dapat dilihat dalam kenyataan Hikayat Hang Tuah di bawah;
“Setelah genap bulannya, maka Raden Emas Ayu pun
berputeralah seorang perempuan, terlalu elok paras; maka dipeliharakan
sepertinya…Adapun perempuan dinamai Puteri Gunung Ledang.
Namun, dalam Sejarah Melayu tidak
dinyatakan akan asal usul Puteri Gunung Ledang, tetapi diceritakan akan
mengenai Puteri Gunung Ledang yang sangat rupawan dan tinggal di Gunung Ledang
di bawah jagaan pengetuanya yang bernama Dang Raya Rani.
PEMINANGAN
PUTERI GUNUNG LEDANG
Kisah peminangan Puteri Gunung Ledang
juga amat berbeza sekali antara Sejarah Melayu dengan Hikayat Hang Tuah.Catatan
dalam Sejarah Melayu menyatakan bahawa Sultan
Mahmud telah menghantar dua orang laksamana untuk meminang Puteri Gunung
Ledang, iaitu Laksamana Tun Mamad dan Sang Setia. Semasa hendak ke puncak
Gunung Ledang untuk berjumpa dengan puteri tersebut pelbagai halangan dan
peristiwa aneh telah mereka lalui, sehinggakan mereka bertemu dengan seorang
nenek tua yang bongkok lipat tiga.Nenek tua itu sebenarnya jelmaan Puteri
Gunung Ledang.Hasrat untuk meminang telah disampaikan oleh Laksaman dengan Sang
Setia, dan Puteri Gunung Ledang telah memberi beberapa syarat yang begitu pelik
iaitu;
“perbuatkanlah aku jambatan emas satu
dan jambatan perak satu, dari Melaka datang ke Gunung Ledang itu. Akan peminangnya
hati nyamuk tujuh dulang ; hati kuman tujuh dulang; air mata setemoayan; air
pinang muda setempayan; darah anak raja yang bernama Raja Ahmad itu
semangkuk;…”
Hikayat Hang Tuah tidak pula
menyatakan sedemikian, malah Puteri Gunung Ledang itu merupakan tunang kepada Raja Culan dan
baginda ingin berkahwin dengan Puteri Gunung Ledang setelah dia pulang daripada
Terengganu dan juga Patani.
“Setelah berapa lamanya Raja Culan duduk di Melaka itu,
maka ia pun naik menghadap raja Melaka hendak bermohon pergi bermain ke
Terengganu lalu ke Patani. Kehendak hatinya, tatkala sudah bermain segenap
negeri itulah ia hendak kembali ke Melaka kahwin dengan Puteri Gunung Ledang
itu…”
BERKOTAKAN
BATANG PISANG, IDEA HANG KADIM ATAU SEORANG BUDAK
Singapura
yang makmur telah di serang oleh ikan todak ramai yang telah mati , maka paduka
Seri Maharaja telah menitahkan rakyatnya untuk berkotakan betis , maka
dilompati oleh
todak itu, terus berkancing ke sebelah. Tiba-tiba datang seorang
budak yang tidak diberi sebarang gelaran dalam penulisan Sejarah Melayu memberitahu
kepada baginda Paduka Seri Maharaja untuk berkotakan batang pisang.
“…datanglah seorang
budak berkata, “Apa kerja kita berkotakan batang pisang alangkah baiknya?”
“….maka dikerah kan baginda
rakyat mengambil batang pisang diperbuat kota.Maka dikerjakan oranglah
berkotakan batang pisang.
Hikayat Hang Tuah pula menceritakan
bahawa, idea untuk berkotakan batang pisang ini adalah daripada idea Hang Kadim
iaitu anak kepada Hang Jebat;
“Ya Tuanku Syah Alam, pada bicara
patik, ada suatu tipunya. Baik juga kita berkotakan batang pisang; cuba
kalau-kalau diturut Allah Taala bertambah daulat Syah Alam”.
“…baginda pun bertitah, “Hai
bendahara, segeralah kerahkan segala rakyat kita suruh perbuat akan seperti
bicara budak ini”.
PEMBUNUHAN
HANG KADIM ATAU SEORANG BUDAK
Malangnya dalam Sejarah Melayu budak
yang memberi idea kepada Sultan untuk berkotakan batang pisang telah dibunuh
tanpa belas-kasihan, hanya kerana kebijakkannya memberi pendapat itulah dia
telah dibunuh tanpa diperiksa mana asal-usulnya.Contoh dapat dilihat pada
kenyataan di bawah;
“Maka sembah Orang Besar-besar,
“Tuanku, akn budak itu terlalu sekali besar akalnya. Sedang ia lagi budak
sekian ada akalnya, jikalau sudah ia besar betapa lagi? Baiklah ia kita bunuh,
tuanku.” Maka titah raja, “Benarlah bagai kata tuan hamba sekalian itu,
bunuhlah ia!” Maka adalah budak itu, tatkala ia dibunuh, maka ia menanggungkan
haknya atas negeri itu; lalu ia pun dibunuh oranglah.
Berlainan pula cerita yang dikarang
dalam Hikayat Hang Tuah mengenai Hang Kadim, setelah negeri Inderapura itu
tidak diserang oleh ikan todak lagi, maka Tuanku Syah Alam telah menganugerhkan
gelaran kepada Hang Kadim kepada Orang Kaya Sang Setu dan dia telah
dianugerahkan beberapa persalinan diraja. Keadaan ini menyebabkan
ramai pembesar-pembesar istana iri hati kepadanya, lalu mencari idea agar dapat
menfitnahnya.Demikianlah fitnahnya:
“Maka patik bertemu Sang Setu itu
berkata-kata dengan seorang perempuan di dalam istana tuanku ini, perempuan
Dang Setia namanya.”
Tuanku berasa sangat marah setelah
mendengar fitnah itu, lalu menitahkan agar Sang Setu ini dibuang.Semasa dia
diikat dan dibawa keluar, kepala Sang Setu telah ditindas lalu matilah Sang
Setu.
NAMA
INDERAPURA
Hikayat Hang Tuah tidak dinyatakan
asal-usul nama Inderapura itu. Namun, Sejarah Melayu menyatakan bahawa nama
negeri Inderapura itu juga dikenali sebagai negeri Pahang.Buktinya:
“Adapun rumah perempuan tua itu dekat
sebuah anak sungai kecil, ada sepohon kayu mahang, maka dinamai anak sungai itu
Pahang, sungai Batang Pahang.Maka disebut oranglah negeri Indera Pura itu
negeri Pahang.
PEMERINTAHAN
MELAKA
Hikayat Hang
Tuah hanya menceritakan bahawa, pemerintahan Melaka diambil oleh Puteri Gunung
Ledang iaitu anak kepada Raden Mas Ayu dengan Tuanku Syah Alam.Tetapi di dalam
Sejarah Melayu pula, pemerintahan Melaka bermula daripada :
Raja Iskandar Syah
Raja Besar Muda
Raja Tengah
Raja Kecil Besar (Sultan Muhammad
Syah)
Sultan Abdul Syahid
(Raja Ibrahim)
Sultan Muzaffar Syah (Raja Kassim)
Sultan Mansur Syah (Raja Abdullah)
Sultan Allauddin Riayat Syah (Raja
Hussain)
Sultan Mahmud Syah (Raja Mamad @
Muhammad)
Sultan Ahmad Syah (Raja Ahmad)
SALASILAH
RAJA MELAKA
ALFONSO
D’ ALBURQUERQUE RAJA PORTUGAL
Sejarah Melayu menyatakan bahawa
penyerang Portugal yang datang ke Melaka itu bernama Alfonso d’Alburquerque. Namun yang demikian, tidak
dinyatakan pun sebarang nama orang Feringgi yang yang menyerang Melaka pada
ketika itu, tetapi hanya diceritakan kepada pedagang-pedangang dan Kapitan
Feringgi hendak berdagang di Melaka.
KEJATUHAN
MELAKA
Melaka yang pada asalnya
makmur , akhirnya telah jatuh ke dalam tangan Feringgi (Portugis) yang menyerang
Melaka.Tipu helah yang dilakukan oleh orang Feringgi terhadap Melaka yang pada
asalnya ingin membeli sebidang tanah merupakan, salah satu cara mereka untuk
memiliki Melaka.Serangan dan peperangan
yang dilakukan oleh orang Feringgi itu, menyebabkan Melaka tewas di
dalam tangan Feringgi.Akhirnya, segala rakyat dan pembesar melarikan diri
mereka ke sebuah tempat dan menamakan tempat itu sebagai negeri Johor
Darul-Alam. Maka datang pula orang Wolanda yang menyerang Melaka, yang pada
masa itu, Melaka telah berada di bawah tangan orang Feringgi. Maka orang
Wolanda pun meminta bantuan daripada orang Johor untuk menyerang orang Feringgi
di Melaka, dan satu perjanjian telah dibuat. Akhirnya orang Feringgi
telah kalah dalam peperangan antara Wolanda, Johor dan juga Feringgi.
Sejarah Melayu pula
menceritakan bahawa Peringgi telah berjaya menawan negeri Melaka dengan begitu
mudahnya dan segala pembesar dan juga melarikan diri mereka .Sultan Ahmad telah
pergi ku hulu Muar,Sultan Mahmud Syah diam di Batu Hampar ,manakala bendahara
tinggal di Lubuk Batu. Maka dengan kekalahan Melaka, maka orang Peringgi pun
menduduki Melaka.
PERSAMAAN
Hanya terdapat sedikit sahaja
persamaan antara Sejarah Melayu dengan Hikayat Hang Tuah. Antaranya ;
PERSAMAAN DAPATAN NAMA MELAKA
Perolehan nama Melaka itu adalah
berasal daripada sepohon pokok yang bernama pokok Melaka. Peristiwa yang
berlaku dalam Hikayat Hang Tuah dan juga Sejarah Melayu hampir sama iaitu
setelah penat berburu maka baginda raja Melaka telah besandar dan berehat di
bawah sebatang pokok dan menyaksikan anjing buruannya dikalahkan oleh pelanduk
putih.
Sejarah Melayu;
“Maka disuruh baginda tebas ,
diperbuat negeri. Maka titah baginda, “Apa nama kayu itu?” Maka sembah orang ,
“Kayu Melaka namanya, tuanku,” Maka titah Raja Iskandar Syah, “Jika demikian,
Melakalah nama negeri ini.”
Hikayat Hang Tuah;
“Pada tengah pulau itu ada sepohon
kayu Melaka namanya, ditebang pohon kayu itu. Maka pada tempat itulah patik
perbuatkan istana.” Setelah baginda mendengar sembah bendahara dan Tuan Tuah
itu maka titah baginda, “Jika demikian, baiklah negeri itu kita namakan negeri
Melaka.”
PENGANUGERAHAN DAN PENGGUNAAN GELARAN LAKSAMANA
Hang Tuah telah dianugerahkan dengan
gelaran Laksamana disebabkan oleh kehandalannya. Gelaran ini telah diberikan
oleh dua orang pembesar istana, yang pertama penganugerahan oleh Betara
Majapahit di atas kejayaan Hang Tuah yang berjaya mengalahkan Taming Sari yang
melakukan amukan di istana;
“Adapun kiai Tuah ini kita gelar
Laksamana.”
Penganugerahan juga telah diberikan
oleh Sultan Melaka kerana kebaktiannya
yang telah membawa Tun Teja untuk baginda ;
“Hai Hang Tuah, kita anugerahi nama
‘Laksamana’ dan dudukmu di atas segala hulubalang.”
Sejarah Melayu juga menggunakan turut
menggunakan gelaran laksamana untuk Hang Tuah di atas keberaniannya:
“Setelah ia menghadap maka dianugerahi persalinan,
dilekatkan bagindalah gelar Hang Tuah itu “Laksamana”. Maka masyhurlah gelar
Hang Tuah “Laksamana” disebut orang.
PERISTIWA AMUKAN
Peristiwa amukan yang berlaku di
istana adalah hampir sama dengan peristiwa amukan Taming Sari yang turut
mengamuk di balairung istana.Sejarah Melayu menceritakan bahawa, orang yang
mengamuk itu adalah orang Jawa, yang kemudiannya mengamuk setelah diketawakan
oleh orang muda.Maka Sultan Mansur Syah memanggil Hang Tuah untuk mengatasi
amukan orang Jawa itu.
Walaubagaimanapun, dalam hikayat Hang
Tuah turut berlakunya peristiwa amukan, apabila Taming Sari yang merupakan
penjurit tua daripada Majapahit. Baginda raja Melaka telah menithakan Hang Tuah
untuk mengalahkan Penjurit itu.Penjurit ini datang ke Melaka, kerana mendengar
kehebatan Hang Tuah ini dan Taming Sari ingin menguji kehebatan Hang Tuah.
HANG TUAH DIHUKUM BUNUH
Hang Tuah telah difitnah oleh
pembesar-pembesar yang dengki akannya sehinggakan baginda raja Melaka berasa
sangat marah sehinggakan baginda menitahkan agar Hang Tuah ini di hukum bunuh.
Raja Melaka menitahkan bendahara untuk membuang Hang Tuah dan hidup matinya
adalah dalam tangan bendahara.
Sejarah Melayu turut mencatatkan
perkara sedemikian apabila, Hang Tuah telah difitnah bermukah dengan dayang dan
menyebabkan Sultan Mansur Syah marah lalu menitahkan Seri Nara Diraja untuk
membunuh Hang Tuah ;
“Hang Tuah disuruh baginda bunuh kepada Seri Nara Diraja.”(SM130)
PENYESALAN MEMBUNUH HANG TUAH
Akibat daripada tindakan terburu-buru
baginda maka, baginda berasa sangat menyesal kerana menitahkan agar Hang Tuah
ini dihukum bunuh.Penyesalan ini dapat dilihat apabila, Sultan Mansur Syah ini
terkenang akan Hang Tuah setelah tiada seorang pun yang berani untuk menentang
Hang Jebat; Sultan Mansur Syah pun mengenang Laksamana Hang Tuah, titah baginda
:
“ Sayangnya si Tuah tiada, jikalau ada
si Tuah , dapat ia menghapuskan kemaluanku.
Penyesalan raja Melaka ini juga dapat
dilihat dalam hikayat Hang Tuah;
Sekarang apatah
rupanya, tidakah Duli Yang Dipertuan menyesal?” Setelah raja mendengar sembah
bendahara demikian itu, maka raja pun menangis, seraya bertitah, “Apatah daya
kita ; sudahlah rupanya untung kita akan beroleh kemaluan.
ORANG
TUA MEMBANTU MELARIKAN TUN TEJA.
Kejayaan Tun Teja dilarikan juga
diatas bantuan seorang nenek orang tua, yang dikenali sebagai pelulut dan juga
inangda.Sejarah Melayu menceritakan bahawa Hang Nadim telah dibantu oleh
seorang perempuan tua pelulut untuk mebujuk hati Tun Teja agar mengikutnya
balik ke Melaka. Manakala,
dalam Hikayat Hang Tuah pula, Hang Tuah telah dibantu oleh seorang inagda yang
mengasuh Tun Teja. Inangda telah memalitkan jebat di tempat duduk Tun Teja. Hati Tun Teja pun lembut
dan memudahkan untuk Hang Tuah memujuknya bersama pulang ke Melaka.
BERKOTAKAN
BETIS DAN BATANG PISANG SEMASA SERANGAN IKAN TODAK
Persamaan telah diceritakan dalam
Sejarah Melayu dan juga Hikayat Hang Tuah untuk berkotakan betis dan batang pisang
semasa serangan ikan todak. Paduka Seri Maharaja telah menitahkan orang
berkotakan betis; Maka baginda pun menitahkan orang berkotakan betis, maka
dilompati oleh todak itu, terus berkancing ke sebelah.
Hikayat Hang Tuah pula menceritakan
bahawa Duli Syah Alam menitahkan kepada bendahara untuk memberitahu rakyat agar
berkotakan betis untuk mengelakkan ikan todak itu; Maka segala rakyat itu pun
disuruh berkota akan betisnya.Sebermula todak itu pun datanglah seperti hujan
yang lebat ditikamnya dengan jongornya.
Manakala, idea berkotakan batang
pisang juga sama antara dua penulisan ini. Seorang budak dalam Sejarah Melayu
memberitahu kepada baginda Sultan untuk berkotakan batang pisang; Jika
berkotakan batang pisang alangkah baiknya?
Hang Nadim turut memberitahu kepada
raja Melaka untuk berkotakan batang pisang untuk menghindar dari serangan
todak; Baik juga kita berkotakan batang pisang.
KESANGGUPAN MENDAPATKAN KUDA TEZI
Kesanggupan Hang Tuah mendapatkan
kuda Sultan Mansur Syah atau kuda raja
Melaka yang telah jatuh ke dalam telaga tahi.Tiada seorang pun yang berani
mendapatkannya melainkan Hang Tuah sendiri yang mahu terjun ke dalam telaga
tahi tersebut ini menunjukkan kebaktian dan kesetiaan Hang Tuah kepada baginda;
Sejarah Melayu;
“Hatta maka sekali persetua, kuda
kenaikan Sultan Mansur Syah jatuh ke pelindungan tahi, seorang pun tiada hendak
menambatkan tali kepada kuda itu. Setelah
dilihat oleh Laksamana Hang Tuah orang yang berates-ratus itu seorang
pun tiada mau turun mengambil kuda itu, maka Hang Tuah pun segera terjun ke
dalam pelindungan itu, ditambatkannya tali pada kuda itu. Maka diudar oranglah
ke aras. Setelah kuda itu naik, maka Hang Tuah pun naik ;
Hikayat Hang Tuah;
“Setelah raja mendengar sembah
laksamana itu, maka raja pun menyuruh mengambil kain tujuh kayu, lalu
dianugerah akan laksamana. Maka kain tujuh kayu itu pun dibarutkan laksamana
pada tubuhnya dari kepalanya datang ke kakinya. Setelah tubuhnya terbarut itu,
maka diambil oleh laksamana tali,dipegangnya hujung tali itu, sebelah dipegang
oleh orang yang di atas telaga itu. Maka laksaman pun menyelam dalam telaga
tahi itu; dengan mudahnya juga kuda itu pun ditarik oranglah.Maka kuda itu pun
lepaslah dari dalam telaga tahi itu.”
PEMBINAAN
ISTANA BARU SELEPAS KEMATIAN JEBAT
Selepas kematian Hang Jebat, Sultan
Mansur Syah telah berpindah dan menitahkan kepada pembesar bendahara untuk
membina istana baru inilah yang diceritakan dalam Sejarah Melaka. Sama juga
seperti dalam hikayat Hang Tuah apabila, raja Melaka berpindah dari istana Hang
Jebat mati dan menitahkan kepada bendahara dan laksamana untuk mebina istana
yang baru.Buktinya dapat dilihat seperti di bawah;
Sejarah Melayu;
“Adapun akan Sultan Mansur Syah pun
pindahlah, tiada mahu diam lagi pada istana tempat Hang Jebat mati itu.Maka
baginda memberi titah kepada Bendahara Paduka Raja, menyuruh membuat istana.
Hikayat Hang Tuah;
“Setelah
sudah laksamana pun masuk menghadap raja. Maka titah raja, “Hai bendahara dan
laksamana, segerlah bangunkan kita istana yang lain; kita hendak buangkan ke
laut istana itu.”
Di sini dapat dilihat bahawa dalam
kedua karya ini, betapa bencinya pemerintah Melaka terhadap Hang Jebat
sehinggakan ingin membina istana baru dan tidak mahu menggunakan istana yang
telah di tinggal oleh Hang Jebat si Penderhaka itu.
MELAKA DI SERANG FERINGGI
Kejatuhan Melaka dalam kedua karya
ini adalah sama, apabila.Kedatangan orang Feringgi telah menjatuhkan kedaulatan
kesultanan Melaka pada ketika itu. Sejarah Melayu mencatatkan bahawa,
kesultanan Melayu Melaka telah jatuh apabila negeri ini telah diserang oleh
orang Feringgi.
Begitu juga peristiwa kejatuhan
Melaka yang jatuh ke dalam orang Feringgi , sebermulanya mereka berdagang ,kemudian
membeli sebidang tanah lalu membuka gedung dengan pelbagai senjata dan meriam
untuk menunduk dan memiliki Melaka.Sehinggakan ramai rakyat dan pembesar
melarikan diri ke Johor.Kemudian, orang Wolanda telah bersama dengan orang
Johor untuk menentang orang Feringgi di
Melaka.(HT588-594)